
KUCHING: Kelab-kelab Lions Region 1, Lions Clubs International District 308-A2 menghulurkan bantuan kecemasan kepada mangsa kebakaran di Kampung Tabuan Hilir bagi meringankan beban keluarga yang terjejas.
Menurut kenyataannya hari ini, program bantuan itu dilaksanakan selepas kelulusan Geran Kecemasan Daerah, dengan penglibatan kesemua 18 kelab Lions di bawah Region 1 yang berganding bahu menyalurkan bantuan segera kepada mangsa.
“Seramai 24 ahli Lions bersama tiga ahli Leo terlibat secara langsung dalam pengagihan bantuan kepada keluarga yang terjejas.

“Kebakaran berkenaan menyebabkan sembilan keluarga melibatkan 50 mangsa kehilangan tempat tinggal serta harta benda keperluan harian.
“Antara bantuan yang disalurkan ialah lapan set peralatan dapur, peralatan memasak dan pengawal selia gas, bekalan makanan kering bagi tempoh sebulan serta pakaian terpakai yang disumbangkan oleh ahli-ahli Lions Region 1,” kata kenyataan tersebut hari ini.
Inisiatif itu mencerminkan komitmen Lions dalam meneruskan khidmat kepada masyarakat selaras dengan motto mereka, ‘We Serve’, selain membantu meringankan kesulitan mangsa ketika berdepan situasi mencabar.
Region 1 turut merakamkan penghargaan kepada Gabenor Daerah, Jawatankuasa Geran Kecemasan Daerah, kelab-kelab yang mengambil bahagian, ahli-ahli Leo, sukarelawan dan para penyumbang atas kerjasama menjayakan misi bantuan tersebut.
Pengagihan bantuan itu disaksikan oleh Penghulu Amzah Dollah, Ketua Kaum Darus Muhamad, anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Ahli Jawatankuasa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kampung Tabuan Hilir.