SIBU: Kelab Lions Antarabangsa perlu terus menjadi pemangkin kepada perubahan yang berkekalan, bukan sekadar menyampaikan bantuan kebajikan, dalam usaha meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, semangat kesukarelawanan yang menjadi teras perjuangan pertubuhan itu selari dengan aspirasi Sarawak untuk membina sebuah negeri yang inklusif, mampan serta berdaya saing di peringkat global.
“Kita bukan sekadar melakukan amal kebajikan secara transaksi, tetapi mahu membawa perubahan yang sistematik dan berkekalan supaya setiap orang berpeluang menikmati kehidupan yang lebih baik,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah Kabinet Gabenor Daerah 308-A2 sempena Sidang Kemuncak Pemimpin Lions Asia Pasifik 2026 di Hotel Kingwood, malam tadi.
Dr Sim berkata, fokus Kelab Lions terhadap isu diabetes, penjagaan penglihatan, kelaparan, kelestarian alam sekitar serta kanser kanak-kanak amat bertepatan dengan cabaran yang sedang dihadapi Sarawak.
“Kerajaan Sarawak turut memberi keutamaan kepada penjagaan kesihatan termasuk pembinaan hospital kanser baharu dan memperkukuh sistem kesihatan bagi memenuhi keperluan rakyat,” ujarnya lagi.
Mengimbas pengalamannya sebagai pakar kardiologi, Dr Sim berkata, beliau memilih pulang ke Sarawak walaupun berpeluang memperoleh pendapatan jauh lebih tinggi di luar negara kerana percaya kepada nilai khidmat kepada masyarakat.
Katanya, Pusat Jantung Sarawak (PJS) diiktiraf sebagai hospital pakar (kardiologi) diiktiraf antara 100 pusat jantung terbaik di Asia Pasifik telah memberi manfaat kepada lebih 300,000 rakyat Sarawak.
“Hospital Umum Sarawak juga muncul hospital penyelidikan klinikal terbaik di Malaysia selama empat tahun berturut-turut, sekali gus membuktikan kemampuan anak Sarawak mencapai kecemerlangan di peringkat antarabangsa,” jelasnya.
Menurutnya, kejayaan Sarawak hari ini bukan hanya diukur melalui kekuatan ekonomi, tetapi juga melalui keharmonian masyarakat, perpaduan kaum dan komitmen memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan.
“Sarawak yang kita bina hari ini ialah sebuah negeri yang inklusif, harmoni dan mampan. Nilai inilah yang perlu terus diperkukuhkan melalui semangat berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa penganjur atas kejayaan menganjurkan sidang kemuncak berkenaan yang menghimpunkan wakil Kelab Lions dari 18 negara.
Beliau menggesa semua ahli Kelab Lions supaya terus menterjemahkan janji dan komitmen mereka melalui tindakan nyata.
“Teruskan berkhidmat demi masyarakat kerana itulah nilai sebenar Lions,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang, Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng, Presiden Antarabangsa Kelab Lions, Mark S.Lyon dan isteri Lyn Lyon, Gabenor Daerah 308-A2, Dato Jimmy Tie dan isteri Dato Betty Wong dan Residen Bahagian Sibu, Superi Awang Said.
Oleh Akun Giman




