SIMANGGANG: Kelab Komuniti Kawasan Selepong merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang, atas peruntukan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM8,000 bagi menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti pembangunan komuniti.
Pengerusi Kelab Komuniti Kawasan Selepong, Patrick Arik Kendoi berkata, sumbangan itu mencerminkan keprihatinan dan komitmen berterusan wakil rakyat berkenaan terhadap pembangunan masyarakat di kawasan Selepong.
Menurutnya, geran tersebut akan dimanfaatkan bagi menjayakan pelbagai program kemasyarakatan, kebajikan, sukan, kebudayaan serta inisiatif pembangunan komuniti yang memberi manfaat kepada penduduk setempat.
“Kelab Komuniti Kawasan Selepong merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Datuk Mong Dagang atas kepercayaan serta sokongan yang diberikan kepada pertubuhan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, cek geran MRP itu telah disampaikan oleh Mong pada Majlis Makan Malam Persatuan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Bukit Begunan yang berlangsung di sebuah hotel di Bandar Simanggang, semalam.
Patrick berkata, bantuan berkenaan bukan sahaja menjadi suntikan semangat kepada ahli kelab, malah merupakan pengiktirafan terhadap usaha pertubuhan itu dalam melaksanakan pelbagai aktiviti yang memberi impak positif kepada masyarakat.
Menurutnya, sokongan berterusan daripada ADUN Bukit Begunan itu membuktikan komitmen beliau dalam memastikan pertubuhan masyarakat terus memainkan peranan penting dalam memupuk perpaduan, semangat kerjasama dan kesejahteraan rakyat.
“Kerjasama erat antara pemimpin dengan pertubuhan komuniti amat penting bagi memastikan setiap program pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan serta memberi manfaat kepada penduduk,” katanya.
Patrick turut memberi jaminan bahawa geran yang diterima akan diuruskan secara telus, berhemah dan mengikut tujuan yang telah ditetapkan.
“Setiap perbelanjaan akan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh komuniti di kawasan Selepong,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau sekali lagi merakamkan penghargaan kepada Mong atas kepercayaan yang diberikan kepada Kelab Komuniti Kawasan Selepong untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan masyarakat.
Beliau berharap ADUN Bukit Begunan itu terus dikurniakan kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan serta berjaya meneruskan usaha membawa pembangunan yang mampan demi kesejahteraan rakyat di kawasan Bukit Begunan.
Oleh Adi Safarman





