Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Kelab Komuniti Selepong berganding bahu jayakan gotong-royong Perdana 2026
  • Tengah
  • WILAYAH

Kelab Komuniti Selepong berganding bahu jayakan gotong-royong Perdana 2026

Utusan Sarawak 6 hours ago
PROGRAM Gotong-Royong Perdana Tahun 2026 di kawasan persimpangan pusingan-P Lebuh Raya Pan Borneo di Kawasan Selepong. Foto: Kelab Komuniti Kawasan Selepong 

SRI AMAN: Kelab Komuniti Kawasan Selepong terus memperlihatkan komitmen tinggi dalam memperkasa semangat kemasyarakatan apabila berjaya menganjurkan Program Gotong-Royong Perdana Tahun 2026 yang melibatkan penyertaan aktif ahli-ahli kelab serta penduduk setempat.

Program yang bermula seawal 8.00 pagi itu disertai lebih 15 peserta yang berganding bahu melaksanakan kerja pembersihan di kawasan persimpangan pusingan-P Lebuh Raya Pan Borneo di Kawasan Selepong.

Aktiviti utama yang dijalankan ialah pengumpulan sampah serta kerja-kerja pembersihan bagi memastikan persekitaran berada dalam keadaan bersih, ceria dan selamat untuk kegunaan orang ramai.

Pengerusi Kelab Komuniti Kawasan Selepong, Patrick Arik Kendoi berkata, program seumpama itu menjadi platform terbaik dalam menyemai nilai kerjasama, perpaduan dan rasa tanggungjawab bersama dalam kalangan masyarakat

Menurut beliau, kejayaan penganjuran program tersebut membuktikan bahawa semangat gotong-royong masih kukuh dalam komuniti dan wajar diteruskan sebagai budaya yang menjadi amalan masyarakat setempat.

KOMITMEN komuniti Selepong dalam menjaga kebersihan kawasan terus diperkukuh melalui program gotong-royong. Foto Kelab Komuniti Kawasan Selepong.

Katanya, penglibatan ahli-ahli kelab serta jawatankuasa yang hadir memberi gambaran jelas bahawa usaha menjaga kebersihan kawasan bukan hanya terletak pada bahu pihak tertentu, sebaliknya memerlukan sokongan menyeluruh daripada semua lapisan komuniti.

Program itu telah diketuai sendiri oleh Patrick dengan penyertaan barisan jawatankuasa kelab, termasuk Bendahari Edward Jantai, Timbalan Bendahari Tony Robie, Setiausaha Elton Sait, Timbalan Setiausaha Rosanne Junai serta Ahli Jawatankuasa Sukan Eldrine Rick Asai.

Dalam ucapannya, Patrick menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam menjayakan program berkenaan.

Beliau berkata, aktiviti gotong-royong bukan sahaja memberi manfaat dari sudut kebersihan kawasan, malah turut menjadi medium penting untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk.

“Program ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi kebersihan kawasan, malah turut mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk.

“Saya berharap agar budaya gotong-royong ini dapat diteruskan sebagai amalan dalam komuniti,” katanya.

Antara objektif utama program itu ialah untuk meningkatkan tahap kebersihan dan keceriaan kawasan Selepong di samping memupuk semangat kerjasama serta perpaduan dalam kalangan komuniti setempat.

Selain itu, program berkenaan turut bertujuan mewujudkan persekitaran yang sihat, selamat dan kondusif, sekali gus menggalakkan penglibatan aktif masyarakat dalam aktiviti kemasyarakatan serta menanam kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar.

Program Gotong-Royong Perdana Tahun 2026 itu juga mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak dan menjadi bukti jelas komitmen komuniti Selepong dalam memastikan kesejahteraan kawasan setempat sentiasa terpelihara.

Ia sekali gus diharap dapat diteruskan dengan lebih banyak penganjuran pada masa akan datang demi memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian masyarakat.

Oleh Adi Safarman

Continue Reading

Previous: PSS rancang sambutan jubli 75 tahun pada 2027
Next: Festival Buku 2026 di Kuching tawarkan fiksyen, bukan fiksyen dan judul terkini

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.