
BINTANGOR: Peranan Kelab Bola Tampar Meradong dalam memupuk gaya hidup sihat dan semangat berpasukan dalam kalangan belia terus mendapat perhatian dan sokongan pemimpin setempat.
Ahli-ahli kelab tersebut telah mengadakan kunjungan hormat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing di Pusat Khidmat Meradong, baru-baru ini.
Rombongan kelab telah berkongsi perkembangan terkini berkaitan aktiviti dan perancangan masa hadapan dalam usaha memperkasa sukan bola tampar di kawasan Meradong.
Koung Hiing berkata, penglibatan aktif kelab sukan di peringkat komuniti amat penting dalam membentuk sahsiah belia melalui penerapan gaya hidup sihat, disiplin dan semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat.
“Sukan bukan sahaja mampu membentuk gaya hidup sihat, malah dapat memupuk semangat kerjasama, disiplin dan perpaduan dalam kalangan komuniti.
“Terima kasih kepada Kelab Bola Tampar Meradong atas komitmen berterusan dalam menganjurkan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada golongan belia dan masyarakat setempat,” katanya.
Beliau turut menggalakkan agar lebih banyak program dan kejohanan sukan dianjurkan di kawasan Meradong bagi mencungkil bakat baharu yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi, sama ada di peringkat bahagian, negeri mahupun kebangsaan.
“Saya berharap agar Kelab Bola Tampar Meradong terus aktif dan proaktif dalam merancang serta melaksanakan aktiviti yang memberi impak positif kepada pembangunan sukan tempatan, di samping menjadi platform yang mampu menarik minat lebih ramai golongan muda untuk melibatkan diri dalam aktiviti sihat,” katanya.
Pihak kelab turut memaklumkan mengenai penganjuran majlis makan malam tahunan yang bertujuan menghargai komitmen ahli kelab selain mengumpul dana bagi menyokong pelaksanaan aktiviti dan program pembangunan sukan pada masa akan datang.
Sehubungan dengan itu, Koung Hiing telah menyalurkan geran khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Meradong berjumlah RM10,000 kepada Kelab Bola Tampar Meradong sebagai tanda sokongan terhadap usaha kelab tersebut dalam memajukan bidang sukan di peringkat akar umbi.
Turut hadir Pengerusi Kelab Bola Tampar Meradong, Dato Ung Sing Ung.
Oleh Earl Anek