

BINTANGOR: Semangat berkongsi rezeki sempena Ramadan terus disemarakkan apabila Kelab Belia Bintangor (KBB) menganjurkan program agihan bubur kacang di Bazar Ramadan Bintangor bagi mengeratkan hubungan antara belia dan masyarakat setempat.
Program tersebut turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing yang meluangkan masa bersama golongan belia bagi memeriahkan aktiviti kemasyarakatan tersebut.
Beliau bersama ahli-ahli KBB mengagihkan bubur kacang kepada para peniaga dan pengunjung yang hadir di bazar.
Katanya, program tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat berkongsi juadah berbuka puasa, malah dapat memupuk semangat kebersamaan serta sikap prihatin dalam kalangan komuniti setempat.
“Tahniah dan setinggi penghargaan kepada KBB atas usaha mereka menganjurkan program yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

“Golongan belia yang sentiasa aktif dalam menjayakan aktiviti kemasyarakatan ini memainkan peranan penting dalam pembangunan komuniti,” katanya ketka ditemui media, baru-baru ini.
Tambahnya, penglibatan aktif belia bukan sahaja membantu masyarakat, malah mampu memperkukuhkan hubungan silaturahim antara pelbagai lapisan masyarakat yang hadir di bazar.
Koung Hiing turut berharap agar lebih banyak program berbentuk kemasyarakatan akan dapat dianjurkan oleh golongan belia pada masa akan datang bagi memupuk nilai perpaduan serta keharmonian dalam komuniti.
Turut hadir, Ketua Pergerakan Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor, Ley Chee Hua dan Pengerusi Kelab Belia Bintangor, Iqmal Khaizal.
Oleh Earl Anek