Kelab Australian Rules gantung lima pemain kerana minum, bawa wanita ke hotel

Facebook
WhatsApp
KELAB terkemuka Australian Rules, Sydney Swans menggantung lima pemain tanpa memberikan sebab. Foto AFP

SYDNEY, Australia: Kelab terkemuka Australian Rules, Sydney Swans menggantung lima pemain kerana keluar minum hingga lewat malam dan membawa wanita ke hotel selepas satu perlawanan.

Pengurusan kanan Swans berkata tindakan itu dikenakan kerana kelakuan berkenaan melanggar “standard tinggi” yang ditetapkan kelab.

Menurut mereka, tindakan kelab itu tidak mempunyai kaitan dengan dakwaan serangan seksual yang berlaku pada awal pagi Isnin di sebuah hotel di Melbourne, tempat pemain dilaporkan menginap selepas perlawanan sehari sebelumnya.

Kelima-lima pemain berkenaan tidak akan dipertimbangkan untuk pemilihan sepanjang baki musim Australian Football League (AFL) yang dijadualkan berakhir pada akhir September.

Pemain yang digantung ialah Riley Bice, Nick Blakey, Isaac Heeney, James Jordon dan Chad Warner dan tiada seorang pun daripada mereka didakwa terbabit dalam dakwaan serangan seksual berkenaan.

“Ia berkaitan keluar hingga lewat malam, minum dan meneruskan malam mereka, selain membawa wanita kembali ke hotel,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Swans, Matthew Pavlich kepada pemberita ketika ditanya mengenai sebab tindakan itu dikenakan.

“Ia jauh daripada apa yang kami harapkan daripada pemain dan kami menetapkan standard yang sangat tinggi. Namun, kelakuan mereka jelas jauh daripada standard berkenaan.”

Pasukan itu, yang kini menduduki tempat kedua dalam carta liga, menewaskan Essendon di Melbourne Cricket Ground pada Ahad.

“Kami amat kecewa dengan kelakuan pemain, tetapi pada masa sama, kami turut menyatakan kebimbangan yang mendalam terhadap wanita yang terbabit,” kata Pavlich.

Polis Victoria berkata pihaknya sedang menyiasat dakwaan serangan seksual di hotel di Melbourne berkenaan.

“Keadaan sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan dan siasatan terhadap insiden itu masih dijalankan,” kata polis dalam satu kenyataan minggu ini.

“Polis telah bercakap dengan beberapa individu di hotel berkenaan, namun tiada sesiapa ditahan atau ditemu bual secara rasmi setakat ini.”

Australian Rules ialah sukan tontonan paling popular di Australia, iaitu permainan berintensiti tinggi yang melibatkan 18 pemain bagi setiap pasukan, dengan sentuhan fizikal penuh serta hantaran dan sepakan menggunakan bola berbentuk bujur.

Sukan itu telah lama terpalit dengan pelbagai kontroversi, termasuk insiden homofobia dan perkauman.

Pengerusi Sydney Swans, Andrew Pridham berkata penggantungan pemain itu merupakan “hari yang amat menyedihkan” bagi kelab.

“Saya tahu lima pemain yang terbabit amat menyesali tindakan mereka dan pelanggaran terhadap standard kelab,” kata Pridham.

“Saya fikir tindakan yang kami kenakan serta kesannya terhadap musim bola sepak kami jelas untuk dilihat semua pihak,” katanya kepada pemberita.

Dalam kenyataan berasingan, kelab itu berkata pihaknya menyediakan “sokongan sewajarnya” kepada pemain terbabit serta pasangan dan keluarga mereka. – AFP