Oleh: Stefanie Kaso
TIDAK sia-sia aku berlama-lama di bilik mandi. Usai mandi badanku yang berbau tengik bukan sahaja terasa segar dan wangi, tetapi di dalam bilik mandi berkeluasan satu meter kali dua meter itu … aku menemui jawapan untuk mengisi rasa sepi yang membelenggu hidupku. Ah, mungkinkah ini dipanggil krisis pertengahan umur? Aku tidak tahu; yang aku tahu, aku lelaki paling sunyi di kota ini. Mungkin ia kedengaran berlebihan, tetapi serius; hidupku memang menyedihkan. Kalau ada yang meminta aku mengisi buku biodata persahabatan, seperti yang sering budak-budak zaman lahir 80-an lakukan, tidak banyak yang dapat aku isi jika menyangkut tentang sahabat.
Nama; Norman. Umur; 42. Status; bujang. Anak ke berapa; tunggal. Hobi; menonton wayang. Sahabat baik; kesepian! Begitulah. Kesepian adalah sahabat terbaikku. Aku anak yatim piatu, hilang ibu dan ayah sejak umur 14 tahun kerana kemalangan jalan raya. Saudara mara? Ya, ada. Ayah saudara – yang ada tetapi seperti tidak ada. Kaki dan tanganku, adalah saksi kemandirian aku sejak kecil. Dia abaikan aku. Kebanyakan masa aku tinggal sendirian di rumah peninggalan ibu dan ayah. Seluruh kehidupan aku berputar dalam rutin yang sama. Bangun jam lima pagi, turun ke tempat kerja sesudah mengurus diri, masuk ke tempat kerja tepat waktu, makan tengahari di kantin sebelah pejabat, lalu pada jam lima petang berlumba-lumba pulang ke rumah dan terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Sempurna!
Wang tidak pernah cukup. Awal bulan, tengah bulan, hujung bulan – bulan sahaja yang sentiasa ada. Lalu, bagaimana aku mahu membina keluargaku sendiri? Memberi kehidupan kepada orang lain adalah tanggungjawab yang besar. Kerana hal ini, aku berjanji untuk bekerja lebih kuat berbanding kerbau di sawah – tidak sedar bahawa kehidupan muda telah memintasku di hadapan. Usiaku kini hampir mencecah 42 tahun dan masih sendiri.
Dan esok, adalah hari kelahiranku. Mari lihat … apa yang perlu aku buat untuk meraikannya esok? Baik. Membeli belah – membeli kemeja baharu sebagai hadiah – menonton wayang jangan lupa – singgah di kedai kek – pulang ke rumah untuk meniup lilin pada jam 12 tengah malam – mengucap selamat – dan membuka hadiah sambil berpura-pura tidak mengetahui isinya; sudah tentu kemeja baharu.
Dan … dan – ah, bising sekali! Kenapa orang tua di sebelah rumah itu harus menyambut hari jadinya hari ini? Setiap tahun tidak pernah lupa diraikan. Orang tua itu sudah kelihatan seperti mumia hidup, yang disodor dengan kek, hadiah dan nyanyian. Menyesal aku tidak menutup tingkap dan pintu rumahku sejak tadi. Jengkel! Nyanyian selamat hari jadi mereka mencuri masuk melalui celah tingkap, pintu dan mengingatkan aku; bahawa aku sedang sunyi.
Malam berlalu begitu sahaja … hari ini aku meraikan hari jadiku. Kek entah apa namanya; terlihat memukau dan enak. Di sini … dengan topi parti berbentuk kon dan pemotong kek, aku sedang bersedia untuk meniup lilin dan merealisasi rancanganku setiap kali menyambut hari jadi.
Kek ini benar-benar enak. Tidak dapat disangkal. Begitu sahaja aku menghabiskannya sehingga licin. Aku kenyang sekali dan lantai tempat aku berbaring ini sangat sejuk. “Selamat hari jadi Norman. Kau orang yang kecundang, yang hidup sendiri selama-lamanya …”
Tidak berguna. Lantai sejuk ini tidak mampu menyejukkan seluruh badanku yang bergetar dan terasa hangat. Mataku juga terasa ingin pecah. Aku perlu menyejukkan badanku. Bilik mandi – aku ingin mandi. Pancuran air sejuk akan menyapu segalanya daripada tubuhku. Rasa hangat kerana cuaca, kemarahanku … air mata lelakiku.
Ah lega … tapi tunggu? Sampai bila aku harus begini? Kenapa aku membiarkan sunyi mematahkan semangatku setiap kali tanggal 11 Januari? 11 Januari patut diraikan dengan gembira dan orang lain harus tahu hari ini hari lahir aku. Ya, aku akan berkongsi mengenai hari ini di Facebook, Instagram … mungkin TikTok meski aku tidak pandai bergelek-gelek. Tapi menurut profilku … aku hanya mempunyai 20 orang kawan. Ah, aku tidak kisah tentang kuantiti.
“20 orang itu harus tahu hari ini hari lahirku. Aku ingin melihat, siapa antara mereka mengucap selamat kepadaku … atau -” Ya, aku tahu! Aku tahu!
“Aku akan cari orang lain yang sama tanggal lahir denganku!”
Sejarah telah tercipta. Begitu sahaja, Kelab 11 Januari tertubuh dengan aku memegang jawatan Pengerusi, sekali gus sebagai ahli pertama. Buat pertama kali dalam hidup, aku yakin dengan apa yang aku buat; iaitu mengumpul seramai mungkin yang sama tanggal lahir denganku. Titik.
Keputusan yang terbaik pernah aku buat dalam hidup. Malah lebih baik daripada membuat pertimbangan ketika meneka jawapan berbentuk objektif a b c d dalam peperiksaan. Buktinya? Saban hari, keahlian kelab semakin bertambah. Wahai orang-orang yang lahir pada tanggal 11 Januari – berterima kasihlah pada lelaki yang paling sunyi di kota ini. Kalian, ya kalian – berpeluang berkumpul, berkongsi kesunyian dan persamaan dengan aku. Malah, aku dan ahli kelab pernah bergurau; kami terkena sumpahan nombor satu. Tanggal 11, ada dua satu. Bulan Januari adalah bulan satu. Dan satu adalah kesendirian, berdiri sendiri dan sering sendiri.
Tetapi jangan terkejut, bilangan satu boleh menjadi satu yang banyak, berlipat-ganda dan setahun selepas penubuhan Kelab 11 Januari, ahlinya mencecah 100 ribu orang. “100 ribu orang yang kesepian.”
Hari ini aku dan 99, 999 orang ahli menyambut hari kelahiran kami secara dalam talian. Wah, meriah sekali! Aku tidak menyangka, kita begitu ramai. Lihatlah diri kita; masing-masing mengenakan pakaian, kek, lilin dan nyanyian yang sama. Bahkan semua ahli membeli hadiah yang sama. Nah, aku bukan sahaja tidak sunyi lagi tetapi lebih hangat dan bahagia.
Berita baik; Kelab 11 Januari telah menjadi tular dalam pelbagai pelantar media sosial. Lihatlah! Segala pujian, sokongan, tanda suka dan emoji hati pada gambar kami semakin bertambah, meliar dan menular ke seluruh negara!
Hari ini … setelah enam bulan ke depan ketika membuka akaun Facebook kelab, aku hampir terduduk. Ahli kelab mencecah satu juta orang! Nombor satu juta kedengaran manis dan menjanjikan. Kalau begini, pengendali kelab harus bertambah. Aku tidak akan cukup tangan untuk mengendalikan kelab ini. Sudah tentu, aku masih kekal sebagai Pengerusi ya?
Melihat jumlah ahli yang luar biasa ramai, ahli jawatankuasa tertinggi mencadangkan sesuatu.
“Kita harus mengutip yuran. Bayangkan berapa banyak yang boleh dikutip. Wang itu nanti kita gunakan untuk membantu yang memerlukan. Barulah kelab ini semakin maju!”
Betul, kemajuan harus seiring dengan tanggungjawab sosial. Kalian tidak perlu berbincang panjang. “Aku setuju! Kita lakukan. Hala tuju kelab harus lebih murni dan memberi manfaat kepada orang ramai.”
Ini bermakna … aktiviti dalam takwim kelab akan bertambah. Aku dan ahli kelab akan sibuk sepanjang tahun membantu mereka yang memerlukan. Borneo ke Semenanjung, Semenanjung ke Borneo, sekali-sekala ke Benua Afrika – Kelab 11 Januari sentiasa bersedia menghulur bantuan.
Tepat jangkaanku. Misi kelab telah dikongsi oleh ramai orang. Bahkan, pempengaruh rela bekerjasama secara percuma dengan kelab. Seperti pandemik COVID-19, kewujudan Kelab 11 Januari merebak ke seluruh dunia pula. Aku benar-benar tidak menyangka. Kali ini, aku berasa kagum melihat sokongan dan komitmen ahli-ahli kelab.
Aku juga ingin tertawa. Kerana rumor pernah berlegar, di negara lain yang menubuhkan kelab yang sama, didirikan tugu pengasas Kelab 11 Januari terhormat iaitu aku, sedang memegang sebuah kek sambil mengenakan topi parti berbentuk kon. Populariti tugu itu setanding dengan tugu anjing bernama Hachiko di Jepun.
“Hari ini … kita telah menerima penyertaan dari segenap kampung, daerah, bandar dan negeri di negara ini. Belum ditambah penyertaan dari negara luar. Ini satu kemajuan yang luar biasa dan tidak tertanding. Kita sendiri tidak cukup tangan untuk meluluskan semua permohonan.”
Gemuruh sekali tepukan yang diberikan oleh ahli kelab mendengar pengumuman aku. Gegak-gempita sorakan mereka menenggelamkan suara aku yang ketika ini berusaha mengawal kebisingan mereka yang disertai rasa teruja.
Ini … situasi ini … tidak ada gunanya aku cuba mengawal perasaan mereka. Lihatlah mereka yang berhimpun memenuhi setiap sudut dewan. Apa ini? Aku tidak boleh menangis, seperti yang biasa aku lakukan tahun-tahun kebelakangan. Aku harus gembira. Setahun yang lalu, satu-satunya bunyi bising yang aku dengar adalah bunyi nafasku sendiri.
Tetapi … ketika menjawab soalan objektif, jika sekadar meneka untuk mendapat jawapan yang tepat, kemungkinan ia tepat hanyalah 25 peratus jika ia empat pilihan jawapan. 33.33 peratus kalau pilihan tiga jawapan dan 50 peratus kalau dua pilihan jawapan. Meski dua pilihan jawapan kedengaran lebih baik, masih – ia antara hidup dan mati, gelap dan terang, lulus dan gagal, salah dan betul.
Dan itulah yang berlaku selepas beberapa waktu Kelab 11 Januari tertubuh. Kemungkinan menubuhkannya satu keputusan yang betul adalah 50 peratus, kerana aku terlupa. Aduh, aku benar-benar lupa. Di sebalik kemajuan kelab ini, ia didatangkan sekali dengan sesuatu yang diinginkan oleh sesetengah orang – kuasa. Lalu seperti gula, kuasa boleh bikin ketagih.
Berani sungguh mereka! Aku tidak mengira jika sekarang adalah tengah malam. Aku perlu mendapatkan penjelasan mereka.
Pap! Begitu marahnya aku sehingga tidak sedar menghempaskan dokumen yang aku bawa. Aku boleh rasa wajahku hangat. Jangankan tersenyum, mengerdip mata juga aku tidak sudi saat ini.
“Apa ini?”
Terkebil-kebil muka ahli jawatankuasa tertinggi di hadapan … ketika aku menunjukkan dokumen yang tidak bersalah itu di atas meja. Soalan itu aku tujukan kepada semua mereka.
“Permohonan baharu Tuan Pengerusi …”
“Ya, aku tahu. Tetapi kenapa ada maklumat yang tidak jujur. Malah hampir semua senarai permohonan ini adalah penipuan! Kalian tahu tentang ini?”
Timbalan Pengerusi tampil berdiri. “Kami sedar tentang hal itu tuan. Tetapi kami luluskan sahaja permohonan mereka. Ia untuk kebaikan dan kemajuan kelab kita.”
“Dengan menerima mereka yang bukan lahir pada 11 Januari? Begitu maksud kalian? Ini, ini, ini!” Aku lempar dokumen permohonan itu ke udara. “Mereka sanggup berbohong mengenai tarikh lahir mereka demi masuk ke kelab ini! Kalian tahu tapi masih membiarkan!”
Wajah Timbalan Pengerusi berubah. “Apa salahnya? Dengan ahli yang semakin ramai, kutipan yuran juga semakin banyak. Kelab kita akan menjadi lebih tersohor. Semua akan tunduk kepada kita tuan! Kawan-kawan … betul tak apa yang aku katakan?” Berani pula dia ingin meraih sokongan. Kata-katanya disambut dengan persetujuan.
“Satu lagi tuan … kami juga telah merangka peraturan yang baharu untuk kelab kita, supaya tiada sesiapa yang boleh membantah.”
“Kenapa aku tidak diberitahu tentang peraturan baharu? Bila … dan di mana kalian memutuskannya?”
“Semalam tuan. Dan, semua ahli bersetuju. Untuk kebaikan kelab tuan, kebaikan kelab. Sebab itu ia segera diputuskan oleh suara ramai. Tuan tidak mahu kelab ini semakin maju?”
Maju? Ya, aku mahu kelab ini maju, tetapi bukan dengan cara ini. Begitulah bermulanya, peraturan baharu diwujudkan untuk kelab yang selama ini, misinya hanya mengisi rasa sepi dari sebuah rumah sewa kecil yang aku duduki.
Mereka mengubah slogan kelab daripada ‘Tidak Sunyi Selamanya’ kepada ‘Semua Sama Selamanya.’ Sesuai dengan slogan, setiap ahli harus duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Malah tidak dibenarkan berfikir di luar batas atau cuba membuat perubahan pada kelab dan misinya.
Menyedihkan …. persamaan telah menjadi prinsip paling agung dan harus dipertahankan. Perbezaan tidak lagi diraikan dan wajib dijauhkan daripada kehidupan seluruh ahli. Dengan persamaan kata Timbalan Pengerusi, kelab akan membentuk kesatuan yang tidak mampu digugat oleh sesiapa pun. Semberono, semua ahli Kelab 11 Januari bersetuju. Jika begini halnya … apa yang patut aku lakukan? Aku terpaksa tunduk kepada suara majoriti.
Pernah seorang ahli cuba mengutarakan beberapa idea yang bernas, tentang bagaimana mahu mengubah corak pengurusan kelab agar lebih teratur dan cekap. Ahli itu dipulaukan oleh yang lain kerana menurut mereka, pemuda itu cuba membawa perubahan yang sia-sia dan terlalu ke hadapan. Mengekalkan cara yang lama lebih baik menurut mereka. Malang bagi ahli itu, akhirnya dia dikeluarkan daripada kelab.
“Tidakkah kita terlalu keras dengannya?” Aku cuba mengubah keputusan mereka, kerana jauh di sudut hati, aku mengagumi idea bernas pemuda tersebut.
“Menurutku tidak. Idea-ideanya itu dikhuatiri akan mengubah kelab kita. Ia adalah ancaman. Tentu tuan tidak mahu kelab kita ini terancam bukan?”
Kau memang bijak memutar belit Timbalan Pengerusi! Semua mata ahli menumpu pandang pada aku.
Mahu tidak mahu, aku terpaksa mengangguk – perlahan. Pada hari yang sama, aku mengambil keputusan untuk menemui pemuda itu secara bersembunyi dan meminta maaf atas kelakuan ahli yang lain.
“Tidak apa tuan … fikiran jumud yang sudah pekat memang susah mahu diubah-ubah. Aku yakin tuan orang yang baik … tuan tentu tahu apa yang mereka lakukan sudah lari dengan misi kelab.”
“Kau tidak mahu menubuhkan kelab sendiri?”
“Oh tidak tuan … aku sudah serik,” kata pemuda itu lalu beredar meninggalkan aku. Sayanglah bakat kau wahai orang muda.
Aku ingatkan hal itu akan berhenti setakat itu sahaja, tetapi keadaan menjadi lebih tidak terkawal. Diam-diam, beberapa orang kenamaan dan pempengaruh menukar tarikh kelahiran gara-gara ingin menyertai kelab. Pada saat ulah mereka terbongkar, orang ramai yang lahir pada tanggal yang lain tidak berpuas hati, marah dan memprotes di seluruh negara. Aku faham akan kemarahan mereka dan kali ini – Kelab 11 Januari harus bertanggungjawab. Harus!
Lebih parah; tunjuk perasaan dilakukan di semua negara. Mereka menuntut untuk ditukar juga tarikh kelahiran dalam sijil atau kad pengenalan mereka. Aku rasa tidak percaya dengan berita yang aku terima sebentar tadi. Bagi aku, ini sudah melampaui batas.
“Ini sudah keterlaluan. Kita semua harus segera masuk campur sebelum ia melarat menjadi parah!”
“Kami tidak akan berbuat apa-apa tuan … ini adalah kesempatan terbaik untuk melihat sejauh mana mereka sanggup masuk ke kelab kita. Bayangkan jika semua penduduk negara masuk ke kelab kita?”
“Bagaimana kalau ada yang terkorban dalam rusuhan dan huru-hara itu?”
“Itu bukan tanggungjawab kita tuan … mereka sendiri yang ingin merusuh dan berbuat kekacauan. Kita hanya perlu duduk dan lihat.”
“Tetapi ini satu kegilaan! Ini bukan tujuan aku menubuhkan kelab ini dahulu. Hentikan semua ini!”
“Tidak!”
Mereka semua telah sepakat! Buat beberapa detik, fikiran aku menjadi kosong. Aku tidak pernah berasa lebih sunyi berbanding saat pertama aku menubuhkan kelab ini di rumah sewaku. Kata-kata pemuda yang telah dipecat beberapa minggu lalu terngiang-ngiang dalam fikiran.
“Memandangkan tuan tidak bersetuju dengan kami semua, itu bermakna tuan melanggar peraturan kelab … kami mohon maaf, tuan harus meletak jawatan. Mulai saat ini,”
Timbalan Pengerusi! Melondeh niatnya yang sebenar … Dasar tamak. Jangankan mahu membalas, mengangguk atau melihat wajah mereka pun aku tidak mahu ketika disudut dengan soalan itu. Aku membenci keserakahan mereka. Tidak semena-mena aku berasa amat lelah. Bahu aku terasa begitu berat. Satu-satunya perkara yang ingin aku lakukan pada saat ini adalah menutup pintu dan tingkap rumahku, dan kembali memesrai kesunyian.
Persetankan dengan kalian! Aku akan keluar daripada kelab ini dan ia bukannya kerana peraturan bodoh yang kalian ciptakan – tetapi kerana aku mahu!
Hari ini aku hanya menonton perkembangan kelab melalui kaca televisyen. Manakan tidak? Berbulan-bulan protes dilakukan di seluruh negara. Rusuhan dan huru-hara tidak dapat dibendung para pemerintah di seluruh dunia.
Pengaruh kelab juga merebak ke seluruh benua. Dari atas peta bebola dunia hingga ke hujung, dari negara paling sejuk hingga ke negara paling panas, dari negara paling kaya hingga ke negara paling miskin, dari negara paling sesak hingga ke negara paling kurang penduduk. Kelab 11 Januari melihat hal itu sebagai peluang lalu menuntut untuk menjadi sebuah negara bebas.
“Jika ditolak permintaan kami, perang besar akan berlaku di seluruh dunia dengan kek dan lilin beracun, sebagai senjata utama kami!”
Tepat tanggal 11 Januari 2024, aku duduk di hadapan televisyen sambil menyaksikan Timbalan Pengerusi melafaz sumpah sebagai Presiden Pertama Negara Kelab 11 Januari. Presiden telah melaungkan kebebasan dan menaikkan bendera untuk kali pertama. Kelab yang asalnya daripada seorang lelaki dewasa yang sunyi, telah berjaya menakluk dunia dengan membawa segala bentuk kebisingan kepada ahli-ahlinya.
Di luar sana, orang ramai bersorak dan penampilan mereka semua sama. Akal telah mati, perbezaan segan mahu hidup. Sementara di rumah, aku sedang menyambut hari lahir yang ke-47 – sendiri dan sunyi seperti sedia kala.