Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Kekurangan fasiliti sukan sekolah luar bandar dapat perhatian
  • PENDIDIKAN

Kekurangan fasiliti sukan sekolah luar bandar dapat perhatian

Utusan Sarawak 4 days ago
FASILITI… Dr Stephen William menerima cenderamata daripada pihak SK Rumah Barrau sebagai tanda penghargaan.

TATAU: Isu kekurangan fasiliti sukan di sekolah luar bandar akan dibawa ke perhatian Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelajar di pedalaman turut menikmati peluang pembangunan sukan setara dengan sekolah bandar.

Setiausaha Politik kepada Menteri Perpaduan Negara, Dr Stephen William berkata, perkara itu akan disuarakan kepada pihak berkaitan agar kemudahan sukan di kawasan luar bandar dapat dipertingkat dari semasa ke semasa.

Menurut beliau, kekurangan kemudahan asas seperti padang yang sempurna, peralatan latihan dan infrastruktur sukan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada potensi pelajar luar bandar untuk berjaya.

“Walaupun fasiliti sukan di Sekolah Kebangsaan (SK) Rumah Barrau masih terhad, anak-anak di sini tetap menunjukkan semangat dan keupayaan luar biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Perpaduan Negara, Dato Sri Aaron Ago Dagang pada Kejohanan Sukan Tahunan dan Sukan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Rumah Barrau 2025 di sini, baru-baru ini.

Tambahnya, sebelum ini, Dato Sri Aaron turut menyalurkan dana bagi menyokong program pembangunan hoki di sekolah berkenaan.

FASILITI… Dr Stephen William mewakili Menteri Perpaduan Negara, Dato Sri Aaron Ago Dagang berucap pada Kejohanan Sukan Tahunan dan Sukan PIBG SK Rumah Barrau, Tatau, baru-baru ini.

Hasil inisiatif tersebut, seorang pelajar sekolah itu kini terpilih mewakili pasukan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Sarawak ke Kejohanan Hoki MSSM 2025 yang mana ia merupakan satu pencapaian membanggakan bagi komuniti luar bandar.

“Kita akan terus memperjuangkan supaya pelajar di kawasan pedalaman diberikan peluang dan sokongan sama seperti di bandar,” ujarnya. 

Sementara itu, Guru Besar SK Rumah Barrau, Agnes Lendun John Jutie menzahirkan rasa terima kasih atas sokongan berterusan daripada Dato Sri Aaron dalam membantu memperkukuh program pembangunan hoki sejak tahun 2023.

Menurutnya, kejohanan sukan yang berlangsung selama dua hari itu bukan sahaja memupuk semangat kesukanan dalam kalangan murid, tetapi turut menjadi platform mengeratkan hubungan antara guru, ibu bapa dan komuniti.

Turut hadir, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Tatau/Sebauh, Razlie Maidin; Yang Dipertua PIBG, Bilong Menyerang; dan Penghulu Micheal Agul Reman.

Oleh Carolyne Utih

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: POCEM Bahasa Iban perkasa pelajar SPM, semarak warisan budaya
Next: Green Eduland and City Growers Kuching: Nurturing curiosity through nature-based learning

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.