MUHAMMAD Fauzan Muharram
KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) — Disahkan mengalami masalah pembelajaran ketika masih kecil, Muhammad Fauzan Muharram yang juga gagap, tidak menjadikan kekurangan dirinya sebagai halangan untuk memasang cita-cita menjadi tukang jahit terkenal.
Impiannya bukan sesuatu yang mustahil kerana hasil kerja tangan pelatih di Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Seri Malindo, Masjid Tanah, Melaka itu pernah dipertonton pada pameran “Empowering Lives, Engaging Hearts” Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Paris, Perancis pada 2015.
Berkongsi kejayaannya kepada Bernama, lelaki berusia 30 tahun itu berkata beg uncang songket berwarna biru selebar lapan inci buatannya dipilih oleh PDDK ke pameran tersebut kerana kehalusan sulaman di samping reka bentuk elegan yang menggabungkan ciri moden dan tradisional.
“Sejujurnya saya gembira bukan kepalang dan berbangga kerana hasil kerja OKU mampu terbang jauh hingga ke peringkat antarabangsa. Ini menjadikan saya dan rakan-rakan pelatih yang lain lebih bersemangat untuk terus menghasilkan lebih banyak produk jahitan dan sulaman berkualiti, seterusnya membanggakan negara,” kongsinya.
Bercerita lanjut, dia yang memang meminati seni jahitan dan sulaman telah mengikuti latihan dan pemulihan di PPDK Seri Malindo sejak 12 tahun lalu.
“Saya agak lambat belajar berbanding rakan-rakan yang lain, di samping masalah gagap, namun warga PPDK tidak berputus asa dalam membimbing saya sehingga saya mampu berdikari. Terima kasih saya ucapkan kepada warga PPDK atas tunjuk ajar mereka,” katanya yang kini mampu menghasilkan pelbagai produk jahitan, antaranya pelitup muka dan beg, tanpa sebarang masalah.
KEMAHIRAN TINGGI
Sementara itu, Pengerusi PPDK Seri Malindo Hanafiah Othman berkata pihaknya sentiasa proaktif dalam membimbing pelatih OKU agar mereka boleh menjana ekonomi sendiri menerusi Program “Economic Empowerment” (EEP) yang dilaksanakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak 2012.
EEP merupakan antara tiga fokus utama program PPDK Seri Malindo dengan dua lagi ialah program pencegahan dan program pemulihan.
Berbekalkan lima buah mesin jahit biasa dan tiga buah mesin sulam serta sebuah mesin jahit industri yang dibekalkan oleh JKM, PPDK itu menjalankan bengkel jahitan dari pukul 2 hingga 5 petang setiap Isnin hingga Jumaat bagi pelatih OKU yang berminat.
“Bagi pelatih yang berumur bawah 18 tahun, mereka dilatih mengikut kemahiran yang boleh dikuasai dan berpotensi untuk dikembangkan. Apabila mereka mencecah umur 18 tahun, mereka akan diserap menjadi kakitangan program EEP serta mendapat pelbagai kemudahan dan elaun khas yang disediakan JKM.
“Jika sebelum ini pelatih OKU cuma diberi elaun bulanan oleh JKM sebanyak RM150, kini mereka juga boleh mendapat Elaun Pekerja Cacat (EPC) sebanyak RM450 sebulan sekiranya mereka mempunyai majikan, yang bertujuan menggalakkan mereka untuk terus bekerja dan menjadi individu produktif serta menyumbang kepada negara,” jelas beliau.
Hanafiah yang pernah dinobatkan sebagai Tokoh Pengerusi PDK Cemerlang Kebangsaan 2016, berkata bagi terus memperkasa EEP, PPDK Seri Malindo menubuhkan syarikat SM Mastana Enterprise yang berperanan sebagai majikan kepada pelatih terbabit.
“Syarikat ini juga menjadi platform untuk kami menjual produk jahitan dan sulaman mereka, antaranya ialah baju korporat bersulam, beg songket, beg batik, beg sandang belakang dan pelbagai lagi,” katanya, menambah syarikat itu juga berusaha meluaskan pasaran produk yang dihasilkan oleh pelatih terbabit.
Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan Melaka serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kerana telah menaik taraf PPDK Seri Malindo sebagai Pusat Latihan Kemahiran OKU (PULAKOM) Melaka, selain turut menerima peruntukan RM100,000 setahun dalam bentuk geran latihan.
Menurutnya, pada tahun ini PPDK itu menerima peruntukan tambahan berjumlah RM200,000 daripada KPWKM bagi menaik taraf peralatan bengkel jahitannya.
BERI PENDIDIKAN
Selain menjalankan program pembangunan OKU, Hanafiah berkata PPDK itu turut menganjurkan program pencegahan setahun sekali, antaranya taklimat sifar kematian bayi semasa dilahirkan atau mempunyai kecacatan.
“Kita terima banyak penyertaan penduduk sekitar untuk sama-sama mendengar taklimat ini, dan ini satu pencapaian yang amat positif kerana didapati kesedaran masyarakat semakin meningkat. Rata-rata yang hadir ingin memahami lebih lanjut tentang pentingnya pendidikan keibubapaan serta pengurusan situasi sekiranya anak yang dikandung mempunyai kecacatan,” tambahnya.
Beliau berkata pihaknya turut menyediakan program pemulihan kepada seramai 38 pelatih OKU yang tidak dapat belajar di sekolah aliran perdana dan pendidikan khas.
“Melalui program pemulihan yang dijalankan oleh sembilan petugas sukarela yang dibayar elaun di PPDK ini, alhamdulillah, mereka ini dapat dipulihkan secara berperingkat berdasarkan perkembangan secara individu.
“Mereka yang berpotensi dalam bidang akademik akan diserapkan ke pendidikan khas dan aliran perdana manakala bagi mereka yang agak lemah akademik akan dilatih dalam bidang kemahiran mengikut keupayaan masing-masing. Di sinilah fungsi fokus ketiga PPDK iaitu program pembangunan OKU yang memainkan peranan bagi terus membangunkan potensi diri mereka,” katanya.
TERUS PERKASA OKU
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) JKM Rosmahwati Ishak berkata pihaknya telah melaksanakan pelbagai program latihan dan bimbingan kepada OKU menerusi PULAKOM di seluruh negara.
Sebanyak RM10 juta diperuntukkan menerusi Bajet 2022 untuk menjalankan Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) serta Pusat Kehidupan Berdikari (ILC), tambah beliau.
Selain itu, beliau berkata KPWKM turut menumpukan perhatian kepada pemerkasaan program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang merupakan antara medium intervensi awal bagi anak-anak kurang upaya meningkatkan kemahiran, sekali gus menyediakan mereka untuk pasaran pekerjaan.
“Setakat ini, Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan universiti pertama yang melaksanakan program intervensi ini. Kerajaan bercadang memperluas pelaksanaan program ke universiti-universiti awam lain pada tahun depan dengan memanfaatkan peruntukan berjumlah RM10 juta.
“Inisiatif sebegini membolehkan golongan OKU yang berdaftar dengan kita, iaitu seramai 597,355 orang, terus mendapat manfaat melalui pelaksanaan program kemahiran dan bimbingan yang ditawarkan serta mampu meningkatkan keupayaan golongan ini untuk berdikari.
“Ini juga seiring dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang bersifat inklusif dan dibina menerusi tiga teras utama iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran,” jelasnya.
Dalam ucapan bersempena perasmian 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia pada Disember tahun lepas, Ismail Sabri berkata Aspirasi Keluarga Malaysia antara lain turut memperkasa OKU.
Melalui program meningkatkan kesejahteraan sosial, KPWKM berjaya mendaftarkan 2,350 permohonan OKU baharu pada November 2021 melalui program MyDaftarOKU yang diadakan di seluruh negara.
Selain itu, kad OKU secara digital pula dapat dikeluarkan dalam tempoh 24 jam selepas mendapat kelulusan. Hal ini akan memudahkan kerajaan menyalurkan bantuan dengan lebih pantas dan tuntas.
Konsep Keluarga Malaysia ini turut ditekankan dalam Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia, yang mana jelajah seterusnya akan berlangsung esok (20 Mei) hingga 22 Mei di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, Sabah.
JANGAN HINA
Menyentuh isu lain, Rosmahwati mengingatkan masyarakat bahawa perbuatan menghina OKU seperti mengutuk dan mencaci bentuk tubuh seseorang adalah satu kesalahan jenayah menurut Seksyen 233(1)(a)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 504 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Bagi terus meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan golongan OKU, JKM telah menganjurkan Latihan Kesaksamaan Ketidakupayaan (DET) yang merupakan Program Advokasi di bawah Strategik 9, Pelan Tindakan OKU 2016-2022, bertujuan memberi pemahaman isu ketidakupayaan daripada perspektif model sosial.
“Latihan ini diguna pakai di peringkat antarabangsa dan memberi kesan positif terutama dalam mewujudkan persekitaran serta masyarakat yang bersifat inklusif dan memberi penekanan kepada kesamarataan hak OKU dalam masyarakat,” jelasnya.
— BERNAMA