
KUCHING: Kekurangan upaya bukan penghalang untuk terus menyumbang kepada masyarakat, termasuk dalam aspek kemanusiaan seperti menderma darah.
Itulah prinsip yang dipegang oleh seorang individu kelainan upaya (OKU) penglihatan, Tazlan Jen, 58, yang kekal komited menderma darah sejak lima tahun lalu demi membantu menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan.
Menurut Tazlan, hasrat untuk menjadi penderma darah bermula pada tahun 2020 ketika negara berdepan kekurangan bekalan darah akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan pandemik COVID-19.
“Saya terdorong untuk menderma darah apabila mendapat tahu hospital sangat memerlukan bekalan darah. Selain menyelamatkan nyawa, saya juga dimaklumkan bahawa ia baik untuk kesihatan,” katanya ketika ditemui selepas menyertai program derma darah sempena sambutan Hari Penderma Darah Sedunia peringkat Hospital Umum Sarawak (HUS), di sini hari ini.

Katanya, selepas mengetahui setiap satu unit darah boleh menyelamatkan sehingga tiga nyawa, beliau dan isterinya yang juga OKU tidak pernah terlepas untuk menderma setiap tiga bulan sekali.
Pasangan suami isteri itu turut mengusahakan TN Massage Centre sebagai sumber pendapatan utama sejak beberapa tahun lalu.
Tazlan berharap dikurniakan kesihatan yang baik agar dapat meneruskan amalan menderma darah selagi berkemampuan.
Hari Penderma Darah Sedunia yang disambut pada 14 Jun setiap tahun merupakan inisiatif global bagi menghargai jasa penderma darah serta menggalakkan lebih ramai individu tampil menyumbang demi menampung keperluan bekalan darah negara.
Oleh Shikin Mahmud