
MOSCOW: Kekurangan bahan api pesawat dan diesel telah pun melanda Asia susulan konflik di Asia Barat dan dijangka menjejaskan Eropah pada April atau sekitar awal Mei, kata Pengarah Eksekutif Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), Fatih Birol.
“Masalah terbesar hari ini ialah kekurangan bahan api pesawat dan diesel. Inilah cabaran utama. Kita sudah melihatnya di Asia, tetapi tidak lama lagi, saya fikir pada April, ia akan sampai ke Eropah, atau mungkin awal Mei,” kata Birol dalam podcast bersama Nicolai Tangen, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Birol berkata kehilangan bekalan minyak pada April akan menjadi dua kali ganda berbanding Mac. Oleh itu, katanya, keadaan itu akan menyebabkan inflasi serta memperlahankan pertumbuhan ekonomi di banyak rantau, khususnya di negara sedang pesat membangun dan negara membangun yang kekurangan mata wang kukuh.
Pada masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan syarikat penerbangan Jerman Lufthansa Carsten Spohr turut memberi amaran mengenai ancaman kekurangan bahan api pesawat, terutama di luar Eropah, susulan gangguan bekalan akibat konflik di Asia Barat.
Pada 28 Februari, Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas sasaran di Iran, termasuk di Tehran, menyebabkan kerosakan dan korban awam. Iran kemudian membalas dengan menyerang wilayah Israel dan kemudahan tentera AS di Asia Barat.
Ketegangan berkaitan Iran itu telah membawa kepada sekatan secara de facto di Selat Hormuz, laluan utama penghantaran minyak dan gas asli cecair dari negara Teluk Parsi ke pasaran global, serta menjejaskan tahap eksport dan pengeluaran minyak di rantau berkenaan, sekali gus mendorong kenaikan harga. – Bernama-Sputnik/RIA Novosti