
SIBU: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa kekuatan sesebuah parti politik bergantung kepada solidariti ahlinya serta perpaduan dalam kalangan pemimpinnya.
Katanya, apabila seseorang menyertai parti, mereka berkongsi satu platform dan matlamat sama, iaitu berkhidmat serta membawa perubahan positif kepada rakyat dan negara.
“Sebab itu, di banyak negara, apabila sesebuah parti sudah lama bertapak, ada kemungkinan ia akan jatuh. Contohnya di India, Parti Kongres India telah memerintah dalam tempoh yang panjang tetapi mengalami kemerosotan akibat masalah dalaman dan defisit kepercayaan, menyebabkan rakyat mula hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya.
“Situasi sama boleh berlaku di Malaysia sekiranya kepercayaan dalam parti tidak dikekalkan, yang akhirnya boleh melemahkan organisasi politik itu,” katanya berucap pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina SUPP 2025 di sini, hari ini.
Abang Johari juga menekankan bahawa perkembangan teknologi masa kini turut menjadi cabaran kepada parti politik kerana propaganda.
“Contohnya, semasa Tahun Baharu Cina, kita lihat Presiden Trump ‘mengucapkan’ selamat Tahun Baharu Cina kepada Sarawak. Wajah dan suara Trump muncul, tetapi semuanya adalah hasil kecerdasan buatan (AI).
“Esok, anda mungkin melihat wajah saya dalam pakaian Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dengan mesej, ‘Jangan undi PBB’. Inilah cabaran yang akan kita hadapi pada masa depan,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa parti seperti Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), yang telah wujud sejak 1959 dan kini hampir mencecah usia 70 tahun, perlu menyesuaikan diri dengan perkembangan politik global bagi memastikan kelangsungan sokongan rakyat.
“SUPP sudah berusia hampir 70 tahun, manakala PBB kini berusia 53 tahun. Jika kita tidak bijak menguruskan parti, kita juga boleh kehilangan sokongan rakyat. Oleh itu, latihan kepimpinan dalam mana-mana parti penting bagi memastikan kesinambungan kepimpinan yang berkesan,” katanya.
Beliau turut melahirkan rasa syukur kerana Gabungan Parti Sarawak (GPS) berjaya mentadbir negeri dengan sistematik hasil kepercayaan bukan sahaja dalam parti tetapi juga antara parti komponen dalam gabungan itu.
“Saya pernah berpesan dalam PBB, jangan cakap lain di depan dan lain di belakang. Itu bahaya. Saya percaya tahun ini kita mesti terus mengekalkan kepercayaan dalam kalangan kita.
“Kita harus bekerjasama – SUPP, PBB, PDP, PRS – di bawah satu gabungan.
“Yang penting, kerajaan kita mesti kekal kuat dan terus membawa perubahan demi kehidupan rakyat yang lebih baik,” tegasnya.
Turut hadir adalah Presiden SUPP merangkap Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta isteri Datin Amar Enn Ong, Timbalan Presiden II SUPP merangkap Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin; Setiausaha Agung SUPP merangkap Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Sebastian Ting.
Naib Presiden I SUPP merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi dan Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman.
Oleh Tarani Lanting