Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Kekuatan di sebalik lembutnya hati: Jihad seseorang muslimah
  • RENCANA

Kekuatan di sebalik lembutnya hati: Jihad seseorang muslimah

Utusan Sarawak 2 weeks ago
SUKARELAWAN warganegara Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) Zizi Kirana atau nama sebenar Nur Fazelah Mad Tahil berselawat pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil baru-baru ini. Foto BERNAMA

DALAM arus moden yang semakin mencabar, peranan wanita Islam sering diuji dengan pelbagai tuntutan hidup, perubahan nilai dan cabaran akhlak.

Namun, di sebalik kelembutan hati dan sifat penuh kasih seorang wanita, tersimpan kekuatan luar biasa yang menjadi tunjang keteguhan keluarga, masyarakat dan umat.

Inilah hakikat sebenar jihad seorang Muslimah, perjuangan dalam diam tetapi penuh makna, yang dinilai tinggi di sisi Allah SWT.

Dalam konteks Islam, jihad tidak hanya bermaksud peperangan atau perjuangan bersenjata.

Ia membawa maksud yang lebih luas, iaitu usaha bersungguh-sungguh dalam menegakkan kebenaran, mempertahankan agama, dan melawan hawa nafsu.

Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Ankabut ayat 69: “Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Sesungguhnya Allah benar-benar bersama orang-orang yang berbuat baik.” 

Jelas daripada ayat ini, bahawa jihad mencakupi perjuangan dalam setiap aspek kehidupan, termasuk jihad hati dan amal.

Bagi seorang wanita, jihadnya tidak terletak pada mengangkat senjata, tetapi pada keteguhan iman, kesabaran, dan pengorbanan dalam menjalankan amanah kehidupan.

Rasulullah SAW bersabda apabila ditanya tentang jihad bagi wanita: “Jihad bagi mereka ialah haji dan umrah.” (hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

JIHAD SEORANG IBU DAN ISTERI

Peranan seorang wanita dalam institusi keluarga amat besar nilainya. Sebagai ibu, dia memikul tanggungjawab mendidik dan membentuk jiwa anak-anak agar mengenal Allah dan berakhlak mulia.

Setiap tutur kata, doa dan kesabarannya dalam mendidik adalah jihad yang tidak ternilai.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak yang soleh yang mendoakannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Anak yang soleh lahir daripada didikan ibu yang sabar dan berjiwa besar. Maka, jihad seorang ibu bukan sekadar mengurus rumahtangga, tetapi membina generasi pewaris agama.

Sebagai isteri, jihadnya pula terletak pada ketaatan kepada suami yang soleh serta menjaga maruah diri dan keluarga.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, menjaga kehormatannya, dan mentaati suaminya, maka dia akan masuk ke syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Firman Allah SWT pula mengingatkan di dalam surah ar-Rum ayat 30: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu pasangan dari jenismu sendiri supaya kamu merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih dan sayang.” Kelembutan dan kasih seorang isteri menjadi sumber ketenangan dan peneguh semangat suami. Ia adalah jihad yang sunyi, namun hasilnya membentuk rumah tangga penuh keberkatan.

JIHAD MELAWAN NAFSU DAN CABARAN DUNIA 

Dalam dunia serba moden, jihad seorang Muslimah semakin mencabar. Media sosial, budaya hedonisme dan tekanan gaya hidup sering menggugat maruah dan nilai diri wanita.

Justeru, jihad wanita masa kini ialah melawan hawa nafsu serta menegakkan prinsip Islam di tengah dunia yang sarat fitnah.

Rasulullah SAW bersabda: “Mujahid sejati ialah orang yang berjihad melawan hawa nafsunya.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Wanita yang menjaga aurat, menahan diri daripada fitnah dunia, serta menolak gaya hidup yang melanggar syariat sebenarnya sedang berjihad di jalan Allah SWT.

Firman-Nya: “Adapun orang yang takut akan kebesaran Tuhannya dan menahan diri daripada keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya.” (Surah an-Naziat) 

Kekuatan seorang Muslimah bukan pada kekerasan, tetapi pada kemampuan menundukkan hawa nafsu dan memelihara kehormatan diri. Itulah jihad yang paling besar dalam kehidupan seorang wanita beriman.

Manusia yang terbaik dari kalangan umat Rasulullah SAW

DARI Abdullah bin Salamah, beliau berkata, “Aku mendengar Ali berkata, “Sebaik-baik manusia setelah Rasulullah adalah Abu Bakar dan sebaik-baik manusia setelah Abu Bakar adalah Umar”. (Riwayat Ibnu Majah)

Para sahabat sangat memahami kedudukan Abu Bakar di sisi Rasulullah. Dengan itu, mereka sendiri mengiktiraf bahawa Saidina Abu Bakar adalah manusia yang paling mulia dari kalangan mereka.

Kedudukannya di dalam Islam pada masa Rasulullah masih hidup, pada masa kekhalifahannya hingga setelah wafatnya sememangnya tiada tolok bandingannya.

Abdullah bin Umar berkata, “Ketika itu kami membanding-bandingkan darjat kebaikan orang-orang di masa Rasulullah. Maka kami menyenaraikan mengikut turutan mulai dari Abu Bakar, kemudian Umar bin Khattab, kemudian Uthman bin Affan”. 

Semasa zaman pemerintahan Saidina Umar bin Al Khattab, telah datang sekelompok manusia kepada Saidina Umar lalu mereka berkata, “Demi Allah, tidak ada seorang pun yang lebih adil dalam memutuskan perkara, lebih berani berkata benar dan lebih tegas terhadap kaum munafik selain daripada engkau wahai Amirul Mukminin. Engkau adalah manusia terbaik setelah Rasulullah”.

Mendengar kata-kata mereka itu, Auf bin Malik terus berkata, “Kamu semua salah. Demi Allah, kami telah melihat orang yang lebih baik dari Umar setelah Rasulullah”. Mereka pun bertanya, “Siapakah dia wahai Auf?”. Maka Auf bin Malik pun menjawab, “Abu Bakar”. Saidina Umar pun berkata, “Auf benar dan kamu semua salah. Demi Allah, Abu Bakar lebih baik daripada minyak wangi dan aku lebih sesat dari pada unta peliharaan (ketika zaman jahiliyyah)”.

Dalam sebuah riwayat yang lain pula, sekumpulan dari penduduk Kufah dan Basrah pergi menemui Saidina Umar di Madinah.

Ketika mereka tiba di Madinah, terjadi perbualan di kalangan mereka sehingga dalam perbualan tersebut, mereka membicarakan tentang perbandingan di antara kedudukan Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar.

Sebahagian daripada mereka menganggap bahawa Saidina Abu Bakar lebih baik daripada Saidina Umar. Manakala sebahagian yang lain pula menganggap sebaliknya.

Intipati perbualan mereka itu telah sampai ke pengetahuan Saidina Umar. Maka Saidina Umar pun naik ke atas mimbar, lalu beliau memanjatkan puji-pujian dan syukur kepada Allah.

Kemudian beliau berkata, “Ketahuilah bahawa manusia terbaik di kalangan umat ini setelah Nabinya adalah Abu Bakar. Siapa yang berpendapat selain itu setelah ini, maka dia merupakan orang yang dusta. Dia akan mendapat dosa sepertimana dosa pendusta”.

Oleh Hanzalah Azman

Continue Reading

Previous: Koleh Buskers, ukulele dorong anak Orang Asli ke sekolah
Next: Seiring jalannya waktu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.