Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Kekerapan Program Jualan Rahmah MADANI bantu rakyat berbelanja
  • NASIONAL

Kekerapan Program Jualan Rahmah MADANI bantu rakyat berbelanja

Utusan Sarawak 2 days ago
PROGRAM Jualan Rahmah MADANI tiga kali sebulan bantu rakyat tangani kos sara hidup.

MELAKA: Penganjuran Program Jualan Rahmah MADANI tiga kali sebulan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula Jumaat ini merupakan satu bentuk sokongan langsung kepada isi rumah dalam menangani kenaikan kos sara hidup.

Tukang rumah, Mohamad Rizal Husin, 45, mengakui program jualan itu sangat dinanti-nantikan keluarganya setiap bulan kerana menawarkan barangan keperluan pada harga lebih mampu milik, terutamanya ayam mentah.

“Ayam mentah dijual pada harga RM10 seekor berbanding beli di pasar biasa boleh mencecah belasan ringgit. Walaupun terhad tiga ekor bagi setiap pembeli, namun ia banyak membantu saya berjimat untuk lauk-pauk di rumah.

“Program Jualan Rahmah MADANI di tapak parkir bas Telaga Hang Tuah di sini diadakan pada hujung bulan dan sering menerima kunjungan ramai penduduk,” katanya kepada Bernama.

Ahmad Jaafar, 59, dari Bukit Duyong pula sentiasa berkunjung ke Program Jualan Rahmah MADANI yang diadakan pada Sabtu atau Ahad di tapak parkir bas berkenaan bagi mendapatkan barangan keperluan harian untuk keluarganya.

“Selalunya program itu diadakan pada hujung bulan bermula pada 8.30 pagi dan pelbagai barangan keperluan seperti sayur, beras, telur atau ayam akan habis dijual dalam tempoh empat jam.

“Memang ramai penduduk akan hadir untuk membeli barangan keperluan, malah akan menjadi sesak jika ia diadakan pada musim perayaan,” katanya yang bekerja sebagai buruh.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata kawasannya merekodkan jualan lebih RM3 juta pada tahun lepas menerusi Program Jualan Rahmah MADANI.

“Subsidi yang diterima adalah kira-kira RM1.6 juta bagi mengadakan program berkenaan dan pembeli sememangnya menunggu jualan terbabit diadakan sama ada secara bergerak ataupun di pasar raya.

“Saya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri berkaitan kekerapan program terbabit kepada tiga kali sebulan kerana ia memang banyak membantu penduduk dalam kawasan ini untuk menjimatkan perbelanjaan keluarga,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi Bulan Januari dan Amanat Tahun 2026, di Putrajaya, semalam mengumumkan Jualan Rahmah MADANI akan bermula 9 Januari ini dan diadakan tiga kali sebulan di setiap DUN.

Anwar berkata secara keseluruhan, lebih 23,000 Jualan Rahmah MADANI akan dianjurkan melibatkan 600 DUN serta 40 lokasi di Wilayah Persekutuan, bertujuan memastikan barangan keperluan asas ditawarkan pada harga yang lebih rendah berbanding pasaran setempat.

Dilancarkan pada 11 Januari 2023, program itu satu daripada inisiatif di bawah Payung RAHMAH yang dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dengan menawarkan penjimatan antara 10 hingga 30 peratus bagi barangan keperluan harian terpilih.

Sebelum ini, program itu dilaksanakan dengan kekerapan minimum dua kali sebulan.- Bernama

Continue Reading

Previous: Rasuah tender perolehan Tentera Darat: 26 syarikat kini disiasat SPRM
Next: Pengecualian cukai jualan input pertanian ‘durian runtuh’ kepada sektor pertanian – KPKM

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.