SIBU: Kekangan jumlah anggota dan faktor keluasan kawasan yang perlu dikawal menyukarkan pihak polis untuk menghalang dan mengesan penduduk yang lolos dari rumah panjang yang dikenakan sekatan pergerakan.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit tidak menafikan dakwaan tersebut dan percaya bahawa penduduk rumah panjang berjaya meloloskan diri melalui jalan hutan dan ladang.
“Ini memang kita tidak nafikan (penduduk yang lolos dari kawasan sekatan pergerakan) kerana anggota kita hanya mengawal laluan keluar masuk sesebuah rumah panjang tersebut.
“Saya ada dimaklumkan bahawa terdapat ladang di belakang rumah panjang itu dan mereka boleh berjalan kaki dua hingga tiga jam untuk sampai ke jalan besar.
“Jadi, tidak dinafikan bahawa sukar untuk kita mengesan dan menghalang mereka,” katanya pada sidang media di Pejabat Residen Bahagian Sibu, semalam.
Hadir sama Residen Bahagian Sibu Charles Siaw, Ahli Dewan Negara (Senator) Robert Lau dan Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Sibu DSP Ariffin Bahar.
Beliau menjawab pertanyaan pemberita mengenai dakwaan penduduk rumah panjang meloloskan diri dari sekatan pergerakan melalui jalan hutan.
Selain itu, beliau turut ditanya mengenai jumlah rumah panjang yang telah dikenakan sekatan pergerakan di Sibu.
“Setakat hari ini ada 48 buah rumah panjang bagi daerah Sibu sahaja telah dikenakan sekatan pergerakan,” jawabnya.
Jelasnya, jumlah ini juga tidak menentu kerana bergantung kepada kes positif COVID-19 yang berlaku mengikut tempat.
Beliau menambah, sesebuah rumah panjang itu dikenakan atau tamat dari sekatan pergerakan adalah atas nasihat dari Kementerian Kesihatan Malaysia.
Oleh NURZILLA MOHAMAD