
BINTULU: Walaupun Jambatan Bintulu-Jepak kini menjadi laluan utama menghubungkan kawasan pesisir dan bandar, perkhidmatan bot tambang tetap mempunyai peranannya dalam mengekalkan warisan pengangkutan tradisional.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee (gambar) memberitahu, pengusaha bot tambang masih boleh meneruskan operasi mereka bergantung kepada permintaan masyarakat.
“Contohnya Sungai Sarawak di Kuching, perkhidmatan bot tambang masih beroperasi, jadi saya percaya di sini juga ia boleh diteruskan mengikut keperluan penduduk.
“Warisan ini perlu dikekalkan agar generasi akan datang tahu bahawa suatu ketika dahulu, Jepak tidak dihubungkan dengan jambatan tetapi melalui perkhidmatan bot tambang,” katanya ketika ditemui media pada majlis Pra Pelancaran Jambatan Bintulu-Jepak, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut memberi jaminan bahawa pihak berkuasa akan menjalankan pemantauan rapi bagi mengelakkan laluan jambatan disalahgunakan untuk aktiviti lumba haram.
“Kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memastikan jambatan ini tidak dijadikan litar perlumbaan haram.
“Penguatkuasaan tegas akan dilaksanakan bagi membendung masalah ini.
“Pada masa sama, kita juga akan mendidik golongan belia supaya menggunakan kemudahan ini secara berhemah dan bertanggungjawab,” katanya.
Dengan langkah penguatkuasaan dan kesedaran masyarakat, beliau yakin Jambatan Bintulu-Jepak dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk kebaikan semua pihak.
OLEH CAROLYNE UTIH