SIBU: Ahli Sayap Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) disaran kekal bersatu dan tidak terlalu mengejar jawatan dalam Parti.
Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sebaliknya setia dan menghormati keputusan kepimpinan tertinggi selain menggalakkan golongan muda untuk terus berinovasi dan membawa idea segar ke dalam Parti.
“Sayap Pemuda PBB mempunyai peranan penting dalam melahirkan pemimpin masa depan. PBB memerlukan pemimpin muda yang berwawasan serta berani menghadapi cabaran masa depan,” katanya.
Mengimbau kisah peribadinya sejak 1982, Uggah berkongsi bahawa ketika beliau dipanggil oleh Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud untuk menerima surat pelantikan bagi pencalonan kerusi Betong, namanya tidak disenaraikan, tetapi Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang yang dipilih.
Namun, katanya, hasil daripada kesetiaan dan rasa hormat terhadap keputusan kepimpinan parti, beliau akhirnya dicalonkan sebagai Ahli Parlimen pada 1986.
“Inilah semangat yang saya mahu lihat dalam kalangan ahli-ahli PBB di seluruh Sarawak. Pemimpin parti kami sentiasa ada untuk menyokong setiap ahli.
“Kadangkala kita fikir buah dah masak, tapi sebenarnya belum lagi – jadi jangan kecewa. Ini adalah peringatan saya kepada anda semua,” tambahnya.
Kekuatan dan perpaduan PBB menjadi faktor utama parti ini bertahan sejak penubuhannya pada 1973.
Tegasnya, PBB tetap teguh walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dan godaan luar.
“PBB telah bertahan sejak 1973 kerana kepimpinan kami yang fleksibel dalam dasar.
“Pemimpin-pemimpin ini bangkit melalui pendidikan, memperkenalkan idea-idea serta strategi baharu untuk memastikan PBB kekal relevan seiring dengan perkembangan masa,” katanya berucap pada majlis makan malam Sayap Pemuda PBB di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Uggah turut menekankan bahawa ramai pemimpin terkemuka PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) lahir daripada latihan serta pengalaman yang diperoleh melalui Sayap Wanita dan Pemuda PBB.
Hadir sama, Naib Presiden PBB Datuk Dr Annuar Rapaee, Timbalan Setiausaha Agung PBB Datuk Ibrahim Baki, Ahli Majlis Tertinggi PBB Fazzrudin Abdul Rahman, Penolong Setiausaha Agung PBB Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Penolong Bendahari PBB Dr Ripin Lamat, Ketua Pemuda PBB Miro Simuh dan Pengerusi Penganjur Reily Repai Maringai.
Oleh Tarani Lanting