
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang, See Chee How, menegaskan beliau kekal sebagai wakil rakyat Bebas dan tidak boleh menyertai mana-mana parti politik selagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak belum dibubarkan.
Menurut beliau, peruntukan undang-undang sedia ada tidak membenarkan seorang ADUN Bebas menyertai parti politik ketika penggal DUN masih berjalan, sekali gus memaksanya mengekalkan status sedia ada buat masa ini.
“Disebabkan undang-undang yang kita ada sekarang, saya tidak boleh menyertai sesiapa sehingga Dewan Undangan Negeri dibubarkan. Jadi buat masa ini, saya perlu kekal sebagai wakil rakyat Bebas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Bas Sekolah Percuma dan Kelas Pintar di SJK Chung Hua No 6, di sini, hari ini.
Mengulas kemungkinan menyertai parti selepas pembubaran DUN, See berkata perkara itu hanya boleh dipertimbangkan pada waktu yang sesuai kelak.
“Selepas pembubaran nanti, barulah kita boleh bercakap. Jika tidak, saya mungkin boleh dikenakan tindakan atau pertuduhan,” jelasnya.
Ketika diajukan soalan sama ada beliau berminat menyertai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) atau Gabungan Parti Sarawak (GPS), See menegaskan keutamaannya adalah kepentingan rakyat di kawasannya.
“Keutamaan saya adalah berkhidmat untuk rakyat Sarawak, khususnya penduduk Batu Lintang. Saya rasa agak jelas siapa yang bekerja dan siapa yang tidak,” katanya ringkas.
Beliau turut menafikan sebarang perbincangan khusus dengan mana-mana parti politik berhubung penyertaan dirinya, sambil menyifatkan hubungannya dengan semua pihak sebagai baik.
“Saya berkawan dengan semua orang, dan mereka juga kawan saya. Jadi jangan risau tentang perkara ini. Saya tidak boleh menyentuh isu ini sekarang. Tunggu sehingga pembubaran,” tambahnya.
Untuk rekod, See berkhidmat sebagai wakil rakyat Bebas selepas keluar daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada 12 Ogos 2022. ADUN tiga penggal itu memenangi kerusi Batu Lintang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 selepas memperoleh 4,420 undi dalam pertandingan lima penjuru.
Dalam pilihan raya berkenaan, beliau menewaskan Sih Hua Tong (GPS), Cherishe Ng (PKR), Voon Lee Shan (PBK) dan Alex Leong (Aspirasi), sekali gus mengekalkan kerusi berkenaan buat penggal ketiganya.
Oleh Shahrul Qaizat