Sejarah penentangan terhadap kehadiran Raja Brooke di Sarawak dipaparkan dengan kemunculan beberapa orang pemimpin tempatan yang tidak selesa terhadap pentadbiran Brooke. Hal ini berlaku kerana rasa tidak puas hati terhadap usaha mencabar kedaulatan dan kekuasaan pemerintah tempatan.
Oleh hal sedmikian itu, munculnya pelbagai penentangan yang bermotif untuk melawan pemerintah Brooke ini. Nama-nama seperti Rentap Syarif Masahor, Penghulu Asun dan Liu Shang Pang biasa meniti di bibir kita sebagai individu yang menentang kehadiran Brooke di Sarawak.
Selain tokoh-tokoh ini, muncul dua nama lain yang jarang-jarang kita kenali sebagai orang yang tidak selesa dengan kehadiran Brooke di Batang Lupar. Mereka ini ialah Ngumbang dan Bantin. Kedua-dua tokoh pejuang ini membawa hasrat untuk tidak tunduk dengan kehadiran Brooke di Sarawak.
Dalam penulisan kali ini, penulis akan menumpukan perjuangan yang dilakukan oleh Bantin. Perjuangan beliau ini merupakan salah satu perjuangan penentangan yang paling panjang. Ia bermula pada tahun 1896 hingga 1908.
Tokoh
Bantin dikenali juga dengan nama Ijau Layang. Beliau dikatakan sebagai orang yang tiada kedudukan menurut salah seorang pegawai Brooke, iaitu S. Baring-Gould. Namun demikian, beliau mampu mengumpul kekuatan untuk melawan pentadbiran Brooke di hulu Sungai Batang Lupar.
Beliau dikatakan lahir berdekatan dengan Nanga Delok. Sungai Delok ini juga bercantum dengan Sungai Batang Lupar. Beliau dikatakan lahir antara tahun 1855 atau 1860.
Pertama kali beliau bertempur dengan tentera Brooke semasa satu ekspedisi ketenteraan diadakan di Bukit Seligi. Ekspedisi itu digerakkan pada tahun 1875. Bantin juga terlibat dalam upacara perdamaian yang digerakkan oleh Kerajaan Brooke dan Belanda bagi mendamaikan orang Iban di bahagian hulu Sungai Batang Lupar dengan Orang Dayak Maloh dari hulu Sungai Kapuas.
Perseteruan
Permusuhan Bantin dengan Kerajaan Brooke berputik apabila Bantin melanggar arahan untuk menjalankan migrasi di kawasan yang dilarang oleh Kerajaan Brooke. Ketika itu Bantin membawa pengikutnya duduk dan tinggal di Delok.
Ketidakpatuhan Bantin ini membawa kepada tindak balas Residen Bahagian Kedua, iaitu Henry FitzGibbon Deshon, untuk mengarah Ngumbang dan pengikutnya menyerang kedudukan Bantin. Arahan yang dibuat pada 1890 ini diikuti oleh Ngumbang untuk memusnahkan kediaman pengikut Bantin, tetapi gagal menyingkirkan Bantin.
Walaupun ketika itu Raja Charles Broooke cuba bertolak ansur dalam dasarnya dengan penduduk di hulu Sungai Batang Lupar, tetapi salah seorang pegawai kanannya, iaitu D. J. S. Bailey tidak bersetuju dengan dasar ini. Beliau terus-menerus menjalankan usaha menyerang penduduk Iban yang ingkar kepada arahannya. Tindak-tanduk Bailey ini membawa kepada masalah kepada Kerajaan Brooke.
Ketegangan
Hubungan antara Bantin dan Kerajaan Brooke bertambah panas apabila Bantin dan pengikutnya pergi berdagang di Kapus. Sekembalinya dari Kapus, mereka membawa tembikar lama dan barangan gangsa, dan tidak membayar cukai ke atas barangan tersebut.
Bailey menerusi keputusan mahkamah telah mendenda pengikut Bantin kerana tidak menbayar cukai. Barangan tembaga mereka juga telah dirampas.
Tindakan Bailey ini tidak mendapat restu Kerajaan Brooke. Kerajaan Brooke melihat barangan yang dibawa oleh pengikut Bantin ini ialah barangan mewah serta tidak perlu dikenakan cukai.
Pada tahun 1896, Bailey juga bertindak mengarah satu ekspedisi menyerang Bantin di hulu Delok. Ekspedisi ini telah membunuh anak saudara Bantin dan memenggall kepalanya. Tindakan Bailey ini dianggap oleh Kerajaan Brooke sebagai telah melampau.
Pada bulan Mac 1896, Raja Charles Brooke telah pergi ke Simanggang, dan di sana beliau meminta Ngumbang menjadi utusan perdamaian dengan Bantin. Bantin ketika itu tidak mahu menerima pelawaan ini dan ingin menuntut bela. Akibatnya, Ngumbang dan pengikutnya menyerang Bantin. Serangan kali ini menyebabkan kematian anak Bantin, iaitu Inggol.
Selepas serangan ini, Raja Charles Brooke cuba berjumpa dengan Bantin di Lubok Antu. Namun, Bantin tidak mahu berjumpa dengan beliau. Raja Charles Brooke kemudiaanya menyatakan kepada Ketua Kaum Iban di Lubok Antu bahawa semua denda yang dikenakan oleh Bailey pada tahun 1895 akan dihapuskan dan ada yang akan dikurangkan. Beliau juga menyatakan bahawa kerajaan tidak akan mengambil apa-apa tindakan lanjut ke atas Bantin.
Tindak balas
Namun demikian, usaha Raja Charles Brooke ini tidak membuahkan hasil. Bantin mengambil tindakan untuk menghukum pihak yang membunuh anak saudaranya di Sukong. Serangan ke atas Sukong membawa reaksi balas kerajaan apabila kerajaan menyerang balas. Bantin sempat melarikan diri ke sempadan.
Seterusnya Kerajaan Sarawak merehatkan Bailey yang dianggap sebagai punca kepada masalah ini. Hal ini diikuti dengan memanggil semua Ketua Kaum di Batang Lupar ke Simanggang untuk tujuan perdamaian. Bantin tidak hadir dalam perjumpaaan tersebut. Walaupun Bantin tidak hadir, tetapi kesan perjumpaan ini membawa kepada keamanan di Batang Lupar selama tiga tahun.
Keamanan ini kembali terganggu apabila pada tahun 1902 Bantin menyerang penduduk di Sermat . Serangan ini dilakukan kerana kejadian pembunuhan seorang tua separuh buta yang tersesat di kawasan tersebut. Tidak diketahui apakah hubungan Bantin dengan orang tua ini.
Kerajaan Brooke bertindak balas dan mengadakan ekspedisi ketenteraan ke atas Bantin. Namun, ekspedisi tersebut gagal kerana ramai ahli pasukannya mati disebabkan jangkitan kolera.
Wilayah Belanda
Sementara itu, Bantin sempat meloloskan dirinya untuk menyeberangi wilayah kekuasaan Belanda. Bantin menjalinkan hubungan baik dengan pihak Belanda. Manakala Belanda pula tidak begitu gemar dengan tindakan kerajaan Brooke menceroboh wilayahnya. Belanda juga tidak menyokong usaha Kerajaan Brooke memerangi Bantin.
Dasar Belanda ini menyukarkan usaha Kerajaan Brooke memerangi Bantin. Namun demikian, usaha ke arah keamanan mula difikirkan oleh salah seorang pegwai kanan Brooke, iaitu Charles Hose.
Perdamaian
Charles Hose telah menghantar orang tengah untuk berunding dengan Bantin. Pada 16 Mei 1907, satu upacara perdamaian dibuat dengan Bantin. Bantin hadir ke majlis tersebut dan diberikan kesempatan bercakap di depan Raja Charles Brooke. Beliau kemudiannya menyerah lembing beliau tanda perdamaian dengan Raja Charles Brooke.
Bantin pula mengambil keputusan untuk tinggal di Sungai Leboyan, wilayah Belanda. Beliau meneruskan kehidupan beliau di sungai tersebut sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 1932.
Dr. Suffian Mansor ialah Pengerusi Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.