Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Kekacauan di lapangan terbang India selepas IndiGo batalkan 1,000 penerbangan
  • GLOBAL

Kekacauan di lapangan terbang India selepas IndiGo batalkan 1,000 penerbangan

Utusan Sarawak 1 hour ago
PESAWAT IndiGo. Foto AGENSI

NEW DELHI: Lapangan terbang di India menyaksikan suasana kelam-kabut pada Jumaat selepas IndiGo, syarikat penerbangan terbesar negara itu, membatalkan ratusan penerbangan domestik untuk hari ketiga berturut-turut, menyebabkan ribuan penumpang terkandas, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

IndiGo, yang menguasai lebih 60 peratus pasaran penerbangan domestik India, berdepan krisis berantai selepas peraturan baharu penjadualan juruterbang yang mengehadkan penerbangan malam dan waktu bertugas menyebabkan kekurangan kapten.

Syarikat itu memohon maaf kepada penumpang di platform media sosial X dan mengakui berlaku “krisis operasi yang serius”. Pasukan syarikat penerbangan berkenaan kini bekerjasama dengan Kementerian Penerbangan serta Direktorat Jeneral Penerbangan Awam (DGCA) bagi memulihkan operasi seperti biasa.

IndiGo berkata mereka telah membatalkan 1,000 penerbangan pada Jumaat, iaitu kira-kira separuh daripada jumlah penerbangan harian ke pelbagai destinasi di seluruh negara.

Ini termasuk 250 penerbangan dari ibu negara New Delhi dan 100 masing-masing dari bandar utama seperti Bengaluru dan Chennai. Penerbangan lain pula mengalami kelewatan sehingga 12 jam, menyebabkan penumpang yang marah dan kecewa memenuhi terminal lapangan terbang.

Antara mereka yang ditemu bual oleh saluran berita tempatan ialah seorang pakar bedah yang terlepas beberapa pembedahan terjadual, seorang pengantin lelaki yang terlepas majlis perkahwinannya, serta ramai lagi yang terlepas penerbangan sambungan.

Di tengah kekacauan itu, DGCA menarik balik sementara peraturan had waktu bertugas juruterbang berkuat kuasa serta-merta demi kepentingan penumpang, khususnya warga emas, pelajar, pesakit dan mereka yang bergantung pada perjalanan udara tepat pada masanya untuk urusan penting, menurut kenyataan Kementerian Penerbangan.

IndiGo sebelum ini telah meminta kelonggaran daripada peraturan baharu yang mengehadkan waktu bertugas selepas peraturan tersebut diumumkan dua tahun lalu dan diperkenalkan dalam dua fasa pada 1 Julai dan 1 November, lapor The Economic Times.

Dalam mesyuarat semakan terperinci, DGCA mendapati keruntuhan operasi IndiGo berpunca daripada cabaran melaksanakan fasa kedua peraturan pengurusan keletihan yang dipinda, kelemahan dalam perancangan pengurusan kru, serta kekangan musim sejuk seperti jarak penglihatan rendah dan permintaan tinggi.

Kenyataan kerajaan itu menyebut ia menjangkakan operasi penerbangan kembali pulih sepenuhnya dalam beberapa hari. Kerajaan turut mengarahkan siasatan penuh terhadap gangguan berkenaan.- Bernama-dpa

Continue Reading

Previous: Gempa besar diramal landa Tokyo, dianggar berupaya ragut 18,000 nyawa

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.