oleh Mohd Ali bin Salim (Munsyi Sastera)
TAHNIAH kepada penulis kerana berjaya menyiapkan sebuah cerpen yang bukannya mudah untuk dihasilkan; apatah lagi mengandungi pemikiran yang mampu membimbing pembaca menyelesaikan masalah. Hal ini membuktikan bahawa penulis mempunyai tujuan dalam tulisannya, bukan sekadar menyusun barisan perkataan dan ayat bahkan menyusun juga gaya berfikir agar pembaca menjadi pemikir dalam menyelesaikan masalah dalam kehidupan harian.
Sinopsis
Dahlia diberitahu sumainya akan berhenti kerja. Dia berusaha mencari rezeki untuk keluarganya dengan mengikuti kelas pembuatan Kek Marble di Facebook. Berpandukan bimbingan oleh Cikgu Hayati, akhirnya Dahlia berjaya membuat Kek Marble. Malah dia menjadi pengusaha Kek Marble dengan mendapat banyak tempahan daripada pelanggan.
Penulis memulakan ceritanya dengan satu masalah yang menjadi konflik untuk diselesaikan oleh sebuah keluarga. Masalah ini pula sesuai dengan kejadian semasa yang membuktikan bahawa penulis seorang yang peka dengan apa-apa yang berlaku di sekelilingnya serta memilih latar itu untuk dirakam dalam karya seperti berikut;
“DAHLIA, abang dapat notis tadi. Bulan ini merupakan bulan terakhir abang bekerja. Syarikat tak mampu nak tanggung kos gaji pekerja.” Bergetar suara Nazrul menyampaikan berita itu kepada isterinya yang sedang mencedok nasi ke pinggan.
Dahlia cuba berlagak tenang, mengambil tempat berhadapan suaminya.
“Tak apalah, abang. Nanti kita fikir macam mana. Bukan hanya kita yang terkesan dengan keadaan sekarang ni. PKP tak sudah-sudah. Majikan pun tersepit.”
Penulis menggunakan latar masa kini yang baru sahaja berlaku untuk memikat perhatian pembaca. Latar ketika negara dilanda musibah penyakit berjangkit menjadi pilihan penulis untuk memuatkan permasalahan yang berlaku dalam isi ceritanya. Penggunaan latar segar boleh membantu pembaca mudah menghayati ceritanya. Segala isu dan peristiwa berkaitan latar itu akan muncul dalam minda pembaca. Bertambah menarik apabila penulis memilih satu masalah utama sebagai pembukaan konflik dalam cerita untuk diselesaikan. Apa-apa usaha pasangan suami isteri menyelesaikan masalah tersebut menjadikan gaya plot karya ini berunsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), iaitu penulis menggunakan karyanya dengan menyusun sebab- akibat bagi menyelesaikan masalah. Berlatarkan tempoh pandemik; terdapat rakyat yang terkesan oleh situasi tersebut seperti tulisan pengarang, iaitu ‘kes kehilangan pekerjaan’ kerana diberhentikan kerja oleh majikan; rantaian daripada kesan ekonomi. Keluarga Nazrul dan Dahlia menjadi fokus penulis terhadap permasalahan ini dengan bercerita tentang cara keluarga tersebut mengatasi masalah. Dalam hal ini penulis menggunakan watak heroin sebagai watak utama, iaitu seorang isteri menggunakan kebijaksanaannya untuk menyelesaikan masalah keluarga. Masalah itu dihuraikan oleh penulis tentang beberapa hal yang perlu ditanggung seperti berikut;
“Dalam tempoh sebulan dua masih mampulah kita bertahan agaknya. Kita masih boleh gunakan wang simpanan. Tapi, dalam keadaan yang tidak menentu bagaimana abang nak dapatkan pekerjaan baru? Lampin pakai buang, susu anak-anak, bil api, bil elektrik, ansuran rumah, bayaran kereta…” Nazrul meluahkan kerunsingan. Matanya mengerling sekilas ke arah dua anaknya yang sedang berbaring menonton rancangan kanak-kanak di ruang tamu.
Gaya pemikiran KBAT penulis terserlah apabila berfikir tentang masa hadapan dengan menganalisis masalah-masalah yang timbul akibat daripada ‘kehilangan pekerjaan’ suami. Penulis membuat jangkauan masa akan datang; wang simpanan akan habis, sedangkan lampin pakai buang, susu anak-anak, bil air, bil elektrik, ansuran rumah dan bayaran kereta tetap memerlukan wang. Lebih kreatif lagi apabila huraian penulis menggambarkan segala-galanya seperti gambaran dua orang anaknya yang sedang berbaring menonton rancangan kanak-kanak di ruang tamu. Gambaran itu secara halus menggambarkan kebimbangan Nazrul dalam kepalanya tentang masa hadapan anak-anak yang belum mengerti tentang kesukaran ibu-bapa.
Apabila masalah dan konflik dalam cerita dihadirkan pada awal kisah, maka penulis menggunakan gaya pemikirannya untuk mengajak pembaca menyelesaikan masalah tersebut dengan pelbagai jalan dan usaha. Dalam cerita ini, penulis memilih untuk menggerakkan watak Dahlia menyusuri plot bagi mencari jalan penyelesaian seperti berikut;
Sebagai suri rumah sepenuh masa, Dahlia perlu memikirkan jalan lain untuk membantu suaminya. Malam tadi, dia ada ternampak iklan Kelas Membuat Kek Marble Jelita di laman Facebook. Terlintas di fikirannya untuk menyertai kelas tersebut dan ilmu yang diperoleh boleh digunakan untuk berniaga. Ada resepi dan video yang disediakan kepada semua pelajar yang mendaftar. Pelajar boleh berbincang bersama pengajar dan pelajar lain di ruangan komen kumpulan Facebook persendirian tersebut sekiranya pertanyaan atau masalah dengan kek yang dihasilkan. Tetapi, Dahlia masih teragak-agak dek memikirkan jumlah yuran kelas tersebut. RM150 itu terlalu besar jumlahnya terdapat bagi mereka yang kesempitan dan mempunyai masalah kewangan. Dahlia memberanikan diri untuk menghubungi pengajar kelas tersebut, memohon untuk membayar yuran secara ansuran.
Dalam hal ini penulis menggunakan watak Dahlia sebagai seorang isteri berusaha untuk membantu keluargannya agar tidak kecundang dalam masalah kewangan. Dahlia berusaha untuk belajar membuat Kek Marble Jelita dan pembaca dapat dipandu tentang kaitannya dengan masalah yang ditanggung keluarga Dahlia. Dalam pemikiran KBAT, pembaca dapat mengandaikan bahawa Dahlia mahu berniaga Kek Marble bagi mendapatkan keuntungan dan membantu keluarganya. Yuran RM150.00 pula ditimbulkan oleh penulis sebagai satu masalah kerana sepadan dengan latar pandemik dan keadaan keluarga Nazrul yang lebih memerlukan wang itu untuk keperluan lain yang lebih mendesak. Dalam hal ini penulis menggunakan gaya pemikirannya untuk menyelesaikan masalah itu apabila Dahlia memohon yuran tersebut dibayar secara ansuran.
Dalam urutan cerita, mengikut urutan plot kelihatan gaya pemikiran KBAT penulis bagi menjelaskan sesuatu sebab dan akibat membuat satu pilihan. Hal ini membuktikan bahawa penulis bukan bercerita sembarangan tetapi telah merangka sesuatu dalam pemikirannya. Misalnya, penulis memilih alternatif membayar secara ansuran dan pengajar pula setuju bayaran itu ditangguhkan untuk memudahkan jalan lain, iaitu membeli barang atau bahan (modal) untuk berniaga. Jika hanya mampu menjelaskan yuran, tetapi tidak mampu menyediakan modal, tentu menjadi satu masalah lain pula. Perkara ini sudah ada dalam perkiraan penulis yang membuktikan wujud KBAT dalam penulisan ini. Hal ini dirujuk seperti berikut;
“Ya, tadi saya sudah hubungi pengajar kelas tersebut nak mohon bayar yuran secara ansuran. Katanya dia faham dengan keadaan sekarang, semua orang perlukan duit. Cikgu kata saya boleh tangguhkan dulu bayaran. Kalau sudah berniaga nanti dan dapat untung baru nak bayar pun boleh. Duit yang ada sekarang boleh digunakan untuk membeli bahan, cuba dulu resepi tersebut serta dijadikan modal permulaan berniaga nanti katanya. Insya-Allah kalau dah betul-betul mahir, saya nak cuba berniaga. Bolehkan abang?” Panjang lebar Dahlia bercerita kepada Nazrul.
Kesungguhan watak Dahlia dalam usaha dan hasratnya itu terjelma apabila dia menggunakan wang yang ada untuk membeli keperluan seperti berikut;
Dahlia meneliti kembali senarai bahan yang telah dibeli di pasar raya pagi tadi. Gula kastor, mentega, tepung, ovallete, susu segar, esen vanilla dan telur. Setelah yakin semua bahan telah lengkap, dia mula menimbang tepung, gula dan mentega mengikut sukatan yang diberi oleh Cikgu Hayati, pengajar kelas membuat kek yang didaftarnya semalam.
Seterusnya penulis menguasai subjek yang dicerita; bukan sekadar cerita lapisan luar. Petikan di atas turut membuktikan bahawa penulis tahu tentang bahan-bahan membuat kek, bukan sekadar cerita tentang tepung atau perkara luaran sahaja. Dari segi pembuatan kek, gaya pemikiran penulis juga terserlah dengan menganalisis masalah pembuatan kek dan penyelesaiannya seperti berikut;
…Kek yang sempurna mempunyai ketinggian sehingga lapan inci. Untuk mendapat tekstur yang sempurna, beberapa perkara perlu diberi lebih tumpuan. Antaranya adunan mesti dipukul dengan kelajuan maksimum selama empat minit. Jika lebih atau kurang daripada masa tersebut, adunan tidak akan kental dan boleh menjejaskan tekstur kek apabila dibakar nanti. Suhu ketuhar juga memainkan peranan. Kek yang telah siap diadun perlu dimasukkan ke dalam ketuhar yang telah dipanaskan selama lima minit dengan suhu 120 darjah. Tetapi, suhu ketuhar ini tertakluk kepada saiz dan jenis ketuhar masing-masing. Ya, prosesnya agak rumit. ‘Tak apa, alah bisa tegal biasa’ Dahlia memujuk diri.
Dalam hal ini, penulis juga bercerita tentang masalah membuat kek khususnya yang berlaku kepada watak Dahlia walaupun sudah mengikuti langkah yang dibimbing seperti tuisan berikut;
Selepas menunggu selama satu jam kek dibakar, Dahlia tidak sabar untuk mengeluarkan kek dari ketuhar. Rasa teruja punah sekelip mata kerana kek yang telah siap dibakar mendap di dalam acuan, tidak mengembang seperti yang diharapkan. Seingatnya dia sudah mengikut semua langkah seperti yang ditunjukkan dalam video yang disediakan oleh Cikgu Hayati.
“Percubaan pertama ni tak menjadi, abang. Kek ni mendap, tak mengembang seperti dalam video Cikgu Hayati. Kalau tak mengembang elok masih belum lulus untuk dijual. Buat makan sendiri bolehlah agaknya.” Dahlia meluahkan rasa kecewa.
Melalui watak Cikgu Hayati pula penulis menjelaskan permasalahan tersebut dan cara penyelesaiannya;
“Dahlia, ada beberapa punca yang menyebabkan kek mendap. Bukan sahaja kerana adunan tidak kental. Adunan terlebih kental juga boleh menjadi sebab kerana terlalu lama dipukul. Atau mungkin suhu ketuhar yang tidak betul. Tidak apa, Dahlia. Mula-mula memang rasa agak sukar. Tapi, kalau sudah dapat rentak nanti tutup mata pun boleh hasilkan sehingga sepuluh acuan kek sekali gus.” Cikgu Hayati bergurau di talian sebelah sana.
Selain pemikiran KBAT, penulis juga menerapkan nilai kerohanian dalam cerpennya. Dalam hal ini penulis secara tuntas menjelaskan bahawa walaupun hebat manusia dengan kepakaran dan daya fikirnya, tetapi kesudahannya adalah atas kehendak Allah. Oleh yang demikian, dalam setiap usaha manusia termasuk dalam proses membuat kek, kita hendaklah berserah kepada Allah untuk mendapat sesuatu hasil yang baik. Hal ini terkandung dalam cerpen ini seperti berikut;
Sepanjang panggilan video tersebut, banyak tip yang dikongsikan oleh Cikgu Hayati. Bukan sekadar tip membuat kek tetapi juga ilmu memulakan perniagaan.
“Dahlia, nanti jika sudah mula berniaga, sentiasa baca ayat al-quran yang diamalkan oleh Maryam Al-Basriyah, iaitu surah Az-Zariyat ayat 22, ‘Dan dilangit sana rezeki kamu dan apa sahaja yang dijanjikan Allah kepada kamu.’ Rezeki akan datang kepada kita mengikut kehendak Allah, Allah sudah jamin rezeki buat setiap hamba-Nya. Cuma, kita perlu usaha untuk mendapatkannya.”
Sepekara yang menarik dalam gaya cerpen ini ialah cara penulis menutup cerpen dengan mengaitkan isu semasa. Penulis bijak mengaitkan peristiwa dalam cerpen dengan isu semasa, iaitu sambutan hari guru. Penulis bukanlah bertindak keterlaluan tetapi masih mempunyai kaitan antara guru kepada watak utama dengan guru yang mengajar di sekolah. Hal ini dijelmakan dengan penutup seperti berikut;
Meskipun Cikgu Hayati bukanlah seorang guru yang mengajar di sekolah tetapi bagi Dahlia, Cikgu Hayati juga wajar diraikan. Sudah ada beberapa cadangan hadiah bermain dalam fikiran Dahlia untuk dihadiahkan kepada Cikgu Hayati. Kini Dahlia sedar, gelaran ‘guru’ bukan hanya untuk pendidik yang mengajar di dalam bilik darjah dan dewan kuliah, tetapi untuk sesiapa sahaja yang ikhlas mendidik dan menghulurkan ilmu. Terima kasih, Cikgu Hayati.
Penambahbaikan
Cerpen ini mempunyai pengisian yang kukuh dan penulis menguasai subjek berkaitan pembuatan kek. Namun demikian, dari sudut kreativiti bercerita, susunan plotnya masih terlalu mudah atau kronologi mudah. Oleh yang demikian, penulis boleh melihat dari sudut kelemahan ini untuk diperbaiki agar cerpen yang baik ini menjadi semakin hebat. Dalam hal ini, penulis boleh menimba ilmu dari sudut gaya bercerita dan menguasai teknik-teknik plot.
Kesimpulannya, cerpen ini menarik kerana penulis fokus dengan bahan cerita yang sudah lengkap dengan ramuannya. Bahan-bahan itu pula diolah dengan gaya pemikiran KBAT; membantu dalam aspek menghormati kecerdikan pembaca. Pembaca akan menghargai bahan bacaan yang tidak kosong dan bersifat luaran sahaja sebaliknya mencerdikkan pembaca dengan info-info yang berguna sesuai dengan cerita dan tidak bersifat berlebih-lebihan seperti kajian ilmiah. Oleh demikian, sesuatu bahan ilmiah disaduri dengan kreativiti seni sastera menjadikan bahan itu diresap sebati oleh pembaca dengan menyentuh kalbu dan kekal lama di situ. Teruslah menulis mengasah pena kerana nama anda akan tertulis juga oleh pena itu di dada manusia dan sampai ke alam sana.