Oleh Nabillah Bolhassan
“DAHLIA, abang dapat notis tadi. Bulan ini merupakan bulan terakhir abang bekerja. Syarikat tak mampu nak tanggung kos gaji pekerja.” Bergetar suara Nazrul menyampaikan berita itu kepada isterinya yang sedang mencedok nasi ke pinggan.
Dahlia cuba berlagak tenang, mengambil tempat berhadapan suaminya.
“Tak apalah, abang. Nanti kita fikir macam mana. Bukan hanya kita yang terkesan dengan keadaan sekarang ni. PKP tak sudah-sudah. Majikan pun tersepit.”
“Dalam tempoh sebulan dua masih mampulah kita bertahan agaknya. Kita masih boleh gunakan wang simpanan. Tapi, dalam keadaan yang tidak menentu bagaimana abang nak dapatkan pekerjaan baru? Lampin pakai buang, susu anak-anak, bil api, bil elektrik, ansuran rumah, bayaran kereta…” Nazrul meluahkan kerunsingan. Matanya mengerling sekilas ke arah dua anaknya yang sedang berbaring menonton rancangan kanak-kanak di ruang tamu.
“Rezeki Allah itu luas, abang. Setiap kesukaran pasti akan ada kemudahan, itu janji Allah. Nanti kita cuba atur semula perbelanjaan di rumah. Kita utamakan keperluan sahaja.” Dahlia memulakan suapan. Secara jujurnya dia turut runsing, tetapi sebagai isteri dia perlu menenangkan kegusaran suaminya.
Sudah hampir tiga bulan berlalu semenjak Nazrul diberhentikan kerja. Buat sementara waktu, dia bekerja sebagai penghantar makanan demi menampung perbelanjaan keluarga. Sememangnya sangat ketara jumlah gaji yang diperoleh berbanding kerjanya sebelum ini sebagai jurutera, tetapi hanya ini pilihan yang ada. Wang simpanan juga sudah semakin surut.
Sebagai suri rumah sepenuh masa, Dahlia perlu memikirkan jalan lain untuk membantu suaminya. Malam tadi, dia ada ternampak iklan Kelas Membuat Kek Marble Jelita di laman Facebook. Terlintas di fikirannya untuk menyertai kelas tersebut dan ilmu yang diperoleh boleh digunakan untuk berniaga. Ada resepi dan video yang disediakan kepada semua pelajar yang mendaftar. Pelajar boleh berbincang bersama pengajar dan pelajar lain di ruangan komen kumpulan Facebook persendirian tersebut sekiranya terdapat pertanyaan atau masalah dengan kek yang dihasilkan. Tetapi, Dahlia masih teragak-agak dek memikirkan jumlah yuran kelas tersebut. RM150 itu terlalu besar jumlahnya bagi mereka yang kesempitan dan mempunyai masalah kewangan. Dahlia memberanikan diri untuk menghubungi pengajar kelas tersebut, memohon untuk membayar yuran secara ansuran.
“Amboi, apa yang leka sangat tu sampaikan saya bagi salam pun tak perasan?” Dahlia mengurut dada, terkejut disergah suaminya.
“Dah lama abang sampai? Maaf saya tak perasan. Ralit mendaftar untuk kelas membuat kek dalam talian tadi.”
“Kelas membuat kek?” Nazrul duduk bersebelahan isterinya, melepaskan lelah. Walaupun penat, dia tetap menitip syukur kerana masih ada peluang untuknya mencari rezeki.
Dahlia mengangguk.
“Ya, tadi saya sudah hubungi pengajar kelas tersebut nak mohon bayar yuran secara ansuran. Katanya dia faham dengan keadaan sekarang, semua orang perlukan duit. Cikgu kata saya boleh tangguhkan dulu bayaran. Kalau sudah berniaga nanti dan dapat untung baru nak bayar pun boleh. Duit yang ada sekarang boleh digunakan untuk membeli bahan, cuba dulu resepi tersebut serta dijadikan modal permulaan berniaga nanti katanya. Insya-Allah kalau dah betul-betul mahir, saya nak cuba berniaga. Bolehkan abang?” Panjang lebar Dahlia bercerita kepada Nazrul.
Nazrul menghadiahkan senyuman buat isterinya.
“Terpulang kepada awak. Kalau awak tak berniaga pun insya-Allah saya masih mampu dan akan berusaha untuk mencari rezeki buat keluarga kita. Tetapi kalau awak berminat, saya tidak melarang. Kalau duit modal tidak cukup beritahu saya. Nanti saya usahakan.”
Dahlia meneliti kembali senarai bahan yang telah dibeli di pasar raya pagi tadi. Gula kastor, mentega, tepung, ovallete, susu segar, esen vanilla dan telur. Setelah yakin semua bahan telah lengkap, dia mula menimbang tepung, gula dan mentega mengikut sukatan yang diberi oleh Cikgu Hayati, pengajar kelas membuat kek yang didaftarnya semalam. Menurut nota yang diberi, resepi tersebut nampak mudah tetapi perlu teliti dalam melaksanakan prosesnya bagi mendapatkan hasil yang baik. Melihat beberapa hantaran dalam Facebook daripada pelajar lain yang turut menyertai kelas yang sama berkongsi beberapa gambar kek yang telah dihasilkan membuatkan Dahlia semakin bersemangat. Setiap kek yang dihasilkan dilukis dan dihias dengan pelbagai corak yang menarik di atasnya mengikut kreativiti masing-masing. Ada yang menghasilkan corak abstrak, gambar flora dan animasi, tidak kurang juga ada yang melukis potret di atas kek. Sungguh menakjubkan.
Sebagai permulaan, Dahlia tidak menghias apa-apa corak di atas keknya. Masih belum yakin dan mahir. Teringat pesan Cikgu Hayati dalam nota resepi yang dibekalkan, buat permulaan perlu lebih fokus kepada penghasilan tekstur kek. Kek yang sempurna mempunyai ketinggian sehingga lapan inci. Untuk mendapat tekstur yang sempurna, beberapa perkara perlu diberi lebih tumpuan. Antaranya adunan mesti dipukul dengan kelajuan maksimum selama empat minit. Jika lebih atau kurang daripada masa tersebut, adunan tidak akan kental dan boleh menjejaskan tekstur kek apabila dibakar nanti. Suhu ketuhar juga memainkan peranan. Kek yang telah siap diadun perlu dimasukkan ke dalam ketuhar yang telah dipanaskan selama lima minit dengan suhu 120 darjah. Tetapi, suhu ketuhar ini tertakluk kepada saiz dan jenis ketuhar masing-masing. Ya, prosesnya agak rumit. ‘Tak apa, alah bisa tegal biasa’ Dahlia memujuk diri.
Selepas menunggu selama satu jam kek dibakar, Dahlia tidak sabar untuk mengeluarkan kek dari ketuhar. Rasa teruja punah sekelip mata kerana kek yang telah siap dibakar mendap di dalam acuan, tidak mengembang seperti yang diharapkan. Seingatnya dia sudah mengikut semua langkah seperti yang ditunjukkan dalam video yang disediakan oleh Cikgu Hayati.
“Kenapa mengeluh? Ada apa-apa yang tak kena ke?” Nazrul membasahkan tekak dengan air yang baru dikeluarkan dari peti sejuk menegur Dahlia setelah mendengar keluhan isterinya yang duduk berhampiran kaunter dapur.
“Anak-anak sudah tidur?” Dahlia membalas pertanyaan suaminya juga dengan pertanyaan agar dapat menyembunyikan kekecewaan setelah percubaan pertamanya tidak berjaya.
Nazrul mengangguk dan menarik kerusi di sebelah Dahlia.
“Sedap bau kek yang awak buat, dari dalam bilik saya boleh hidu dah. Boleh jadi lapar balik, tengah-tengah malam begini.”
“Percubaan pertama ni tak menjadi, abang. Kek ni mendap, tak mengembang seperti dalam video Cikgu Hayati. Kalau tak mengembang elok masih belum lulus untuk dijual. Buat makan sendiri bolehlah agaknya.” Dahlia meluahkan rasa kecewa.
“Kalau boleh makan, potongkanlah sedikit. Biar saya jadi orang pertama yang merasanya.”
Dahlia menyua kek yang telah dipotong kepada suaminya.
“Hmmm, sedap. Rasanya cukup. Tidak terlalu manis, tidak juga tawar. Rasa lemak mentega tu pun ada juga.” Nazrul memuji air tangan isterinya. “Kalau awak rasa teksturnya masih belum sesuai untuk dijual, praktis lagi. Jangan putus asa. Cuba tanya cikgu, mungkin dia boleh kongsi lagi tip-tip lain.” Nazrul memberi semangat kepada isterinya.
Keesokan malamnya, Dahlia kembali bersemangat untuk mencuba semula resepi kek tersebut setelah Cikgu Hayati menawarkan untuk membuat panggilan video bersamanya. Kebetulan Cikgu Hayati akan menyiapkan tempahan daripada pelanggan.
“Dahlia, ada beberapa punca yang menyebabkan kek mendap. Bukan sahaja kerana adunan tidak kental. Adunan terlebih kental juga boleh menjadi sebab kerana terlalu lama dipukul. Atau mungkin suhu ketuhar yang tidak betul. Tidak apa, Dahlia. Mula-mula memang rasa agak sukar. Tapi, kalau sudah dapat rentak nanti tutup mata pun boleh hasilkan sehingga sepuluh acuan kek sekali gus.” Cikgu Hayati bergurau di talian sebelah sana.
“Terima kasih, cikgu. Cikgu tangguhkan bayaran yuran saya. Sekarang, cikgu bantu pula mengajar secara langsung dalam talian. Tidak terbalas saya jasa cikgu.” Sebak Dahlia menuturkannya.
“Saya faham keadaan Dahlia yang kesempitan dan mahu membantu suami. Saya ikhlas membantu. Hari ini saya bantu Dahlia, esok-esok mungkin ada orang lain yang akan bantu saya jika saya juga dalam kesusahan. Sudah bersedia dengan bahan-bahan? Saya akan buat kek dari sini supaya Dahlia boleh tengok dengan lebih jelas tekstur adunan yang saya hasilkan. Dahlia juga boleh buat dari sana, supaya saya boleh tengok tekstur adunan Dahlia dan kenal pasti apa masalahnya seperti yang Dahlia maklumkan dalam mesej pagi tadi.”
Sepanjang panggilan video tersebut, banyak tip yang dikongsikan oleh Cikgu Hayati. Bukan sekadar tip membuat kek tetapi juga ilmu memulakan perniagaan.
“Dahlia, nanti jika sudah mula berniaga, sentiasa baca ayat al-quran yang diamalkan oleh Maryam Al-Basriyah, iaitu surah Az-Zariyat ayat 22, ‘Dan dilangit sana rezeki kamu dan apa sahaja yang dijanjikan Allah kepada kamu.’ Rezeki akan datang kepada kita mengikut kehendak Allah, Allah sudah jamin rezeki buat setiap hamba-Nya. Cuma, kita perlu usaha untuk mendapatkannya.”
Dahlia menyalin di dalam buku notanya ilmu yang dikongsi oleh Cikgu Hayati sambil mengangguk “Baik, cikgu. Insya-Allah saya akan amalkan.”
Selepas satu jam menanti, Dahlia teruja untuk melihat hasil keknya di dalam ketuhar. Lebar senyuman Dahlia kerana kek yang dihasilkan ‘bersama-sama’ Cikgu Hayati tadi cantik mengembang kira-kira lapan inci sama tinggi dengan acuan yang digunakan. Lukisan di atas kek juga nampak sempurna walaupun hanya lukisan corak abstrak yang ringkas. Tip dari Cikgu Hayati, jika belum mahir melukis cukup hanya melorek menggunakan lidi untuk menghasilkan corak abstrak di atas kek. Apa yang menambah tarikan corak tersebut ialah gabungan pewarna yang digunakan.
Sudah empat bulan berlalu sejak Dahlia menyertai kelas Cikgu Hayati. Dahlia juga sudah mula mengambil tempahan sejak sebulan lepas. Dahlia betul-betul yakin untuk mula berniaga selepas tekstur dan rupa kek setiap kali dihasilkan konsisten seperti yang diajar oleh Cikgu Hayati. Bak kata Cikgu Hayati, ‘sudah mendapat rentak’. Dahlia juga sudah semakin mahir melukis dan menghias corak di atas kek. Syukur, semakin hari semakin bertambah tempahan yang diterima. Dahlia sudah dapat membantu meringankan beban suaminya.
Selepas mendapat keuntungan jualan pada bulan pertama, Dahlia menghubungi Cikgu Hayati untuk membayar yuran kelas yang telah tertangguh sekian lama.
“Tak apa Dahlia. Saya halalkan, tidak perlu bayar.” Lembut suara Cikgu Hayati disebalik panggilan telefon, menolak untuk menerima bayaran yuran daripada Dahlia.
“Cikgu, janganlah macam ni. Cikgu sudah banyak bantu saya.” Dahlia serba salah.
“Saya ikhlas Dahlia. Sudah niat saya ketika negara kita dalam tempoh PKP, saya mahu bantu mereka yang terkesan. Allah takdirkan Dahlia menghubungi saya untuk membayar yuran secara ansuran. Kita bukan berada di negeri yang sama, tak banyak yang saya boleh bantu. Dengan cara menangguhkan bayaran ketika itu sahaja yang saya boleh bantu semampu saya. Syukur, sekarang ada rezeki lebih Allah kurniakan kepada saya dan keluarga. Jadi, anggap sahaja saya berkongsi rezeki tersebut bersama Dahlia dan keluarga. Tak perlu bayar ya, Dahlia.”
“Tidak terbalas saya jasa dan bantuan cikgu. Cikgu bukan sahaja berkongsi ilmu membuat kek tetapi juga berkongsi ilmu tentang cara memulakan dan menguruskan perniagaan. Cikgu sudi menjawab pertanyaan sepanjang proses saya belajar membuat kek. Banyak kali juga saya hantar gambar adunan kepada cikgu kerana tidak yakin adunan sudah cukup kental atau belum.” Dahlia tergelak kecil mengimbau kembali situasinya sebagai ‘budak baru belajar’ ketika itu.
Dahlia menyambung kembali “Bukan setakat menghantar gambar adunan, gambar kek selepas keluar dari ketuhar pun saya hantar kepada cikgu nak tahu kek sudah masak atau belum. Padahal boleh sahaja cucuk dengan lidi. Kalau licin permukaan lidi, maksudnya kek sudah masak. Banyak kali saya juga ganggu cikgu untuk bertanya banyak perkara.”
Cikgu Hayati turut ketawa disebalik talian “Saya mula-mula belajar macam tu juga, Dahlia. Bukannya tak tahu kek sudah masak atau belum. Cuma tidak yakin dengan diri sendiri. Tidak apa, saya tidak anggap Dahlia menganggu. Saya ikhlas berkongsi ilmu. Saya tumpang gembira dengan pencapaian Dahlia sekarang, semakin banyak menerima tempahan.”
Sebelum mengakhiri panggilan telefon sebentar tadi, Dahlia sempat meminta alamat Cikgu Hayati. Dia berhasrat untuk mengirim hadiah buat Cikgu Hayati. Kebetulan hari guru juga sudah tidak lama lagi. Walaupun tidak pernah bersua dan hanya berhubung melalui telefon serta media sosial, namun seperti sudah lama Dahlia mengenali Cikgu Hayati. Hal ini kerana, Cikgu Hayati bukan sahaja tidak lokek berkongsi tip dan ilmu malah seorang yang sangat ramah.
Meskipun Cikgu Hayati bukanlah seorang guru yang mengajar di sekolah tetapi bagi Dahlia, Cikgu Hayati juga wajar diraikan. Sudah ada beberapa cadangan hadiah bermain dalam fikiran Dahlia untuk dihadiahkan kepada Cikgu Hayati. Kini Dahlia sedar, gelaran ‘guru’ bukan hanya untuk pendidik yang mengajar di dalam bilik darjah dan dewan kuliah, tetapi untuk sesiapa sahaja yang ikhlas mendidik dan menghulurkan ilmu. Terima kasih, Cikgu Hayati.