Sebut sahaja mengenai Pua Kumbu pasti diantara kita tahu ia terkenal di Sarawak dan merupakan warisan tradisi kebanggaan kaum Dayak.
Sering kita lihat Pua Kumbu digayakan dengan pelbagai cara, contohnya dijadikan sebagai baju, selendang, tas tangan, dan sebagainya. Malah, Pua Kumbu juga telah menempa nama seantero dunia. Jika ditanya kepada para pereka fesyen, pasti banyak idea kreatif dan menarik dapat dihasilkan dengan menggunakan Pua Kumbu.
Lain pula cerita disebalik Pua Kumbu yang dihasilkan oleh Lily Jackson, pemilik Kek Lapis 1N5L Premium yang telah mengadaptasikan seni Pua Kumbu pada kek lapis yang dihasilkan oleh beliau.
Ketika ditemu bual, beliau berkata Kek Lapis Pua Kumbu ini merupakan ilham sendiri dan tiada belajar dari sesiapa pun.
Pada mulanya, Lily mencipta Kek Lapis Pua Kumbu pada tahun 2016 dan masih tidak berani untuk berkongsi dengan orang ramai. Usaha demi usaha yang dilakukan oleh beliau telah memperbaiki kualiti kek ini sehingga berani mengorak langkah pada tahun 2018 untuk menjual kek ini.
Menurut Lily, beliau mengambil masa selama lebih kurang empat hingga lima jam untuk menghasilkan Kek Lapis Pua Kumbu. Ia memakan masa yang lama berbanding dengan kek lapis yang lain kerana seni pembuatannya yang agak rumit.
Kek Lapis Pua Kumbu yang dihasilkan oleh Lily mempunyai dua teknik iaitu Teknik Anyaman dan Teknik Pipping.
“Saya membuat Kek Lapis Pua Kumbu dengan bantuan anak-anak dan suami. Merekalah yang menjadi tulang belakang sepanjang karier saya. Mereka amat memberi sokongan dan membantu saya,” kata Lily.
Bagaimanapun sejak pandemic Covid-19 melanda, Lily tidak dapat menjual kek secara bersemuka, lalu beliau mengambil inisiatif mengadakan kelas secara atas talian khusus buat mereka yang ingin belajar seni pembuatan Kek Lapis Pua Kumbu dan juga kek lapis yang lain”, ujarnya.
“Setakat ini penyertaan untuk kelas atas talian saya amat menggalakkan. Para peserta bukan sahaja dari Malaysia, malah ada juga dari Brunei dan juga Singapura,” tambah beliau.
Bercerita lebih lanjut, Lily berkata untuk kelas atas talian ini beliau akan menyediakan resepi dengan video bimbingan lengkap, dari cara mengadun hingga cara melukis atau deko.
“Sebagai bahan tambahan untuk sesi pembelajaran, saya juga sertakan gambar bahan dan nota berkaitan dengan pengendalian kek lapis. Dengan cara ini dapat lebih memudahkan lagi peserta memahami konsep pembelajaran membuat kek lapis inim” jelas beliau.
Umpama ‘durian runtuh’ buat beliau apabila setiap menjelang musim perayaan, tempahan untuk pelbagai jenis kek lapis beliau mencecah ratusan loyang berbanding hari-hari biasa.
Bukan itu saja, Kek Lapis Pua Kumbu atau kek lapis pelbagai jenis yang dihasilkan oleh beliau juga mendapat sambutan yang baik dalam kalangan orang ternama.
“Malah ada seorang peserta kelas saya dari Kapit yang mendapat tempahan khas semasa lawatan Ketua Menteri ke Kapit untuk jamuan minum petang. Ini menjadi kebanggaan buat saya atas usaha dan pencapaian peserta saya,” tambahnya.
Anggaran kos untuk Kek Lapis Pua Kumbu ini dalam RM80 ke atas dan harga untuk sebiji Kek Lapis Pua Kumbu dalam anggaran RM180.
Untuk rancangan masa depan, Lily berhasrat untuk menjadikan empayar 1N5L Kek Lapis Premium berkembang sehingga peringkat dunia dan amat yakin ia dapat dicapai hasil titik peluh beliau tanpa mengenal erti putus asa.
Oleh AZREEN KERIA