MASJID An-Naim Lutong di Miri terletak bersebelahan Gereja Good Sheapherd Lutong. Tiada masalah. Ia simbol perpaduan dan keharmonian kedua-dua penganut Islam dan Kristian.
Setiap kali solat Jumaat, pihak gereja akan membuka pagar untuk membenarkan jemaah meletakkan kereta bagi mengurangkan kesesakan. Hari Ahad pula, pihak masjid buka laluan untuk yang pergi gereja. Tiada masalah. Tiada tembok dibina. Perbezaan agama, tidak menjadi penghalang.
Di Mukah, pun begitu. Ada yang beragama Islam dan Kristian dikatakan duduk serumah dan saling memahami batas, sensitiviti masing-masing. Tiada masalah.
Di negeri ini, ada pertandingan bola sepak dan golf antara kaum, yang tidak ada di negeri lain kecuali Sabah. Tiada masalah. Sikap sebeginilah yang harus dipupuk dalam masyarakat majmuk Malaysia.
Namun, tiba-tiba tular pula isu berhubung arahan pengurusan sebuah kedai bakeri kepada cawangan kedainya yang melarang paparan frasa seperti “Selamat Hari Krismas” pada kek. Ada masalah.
Ini bukan berlaku di Borneo tetapi disifatkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai tidak masuk akal.
“Buat kuih kasi ‘Merry Christmas’ di sana (Semenanjung) masalah.
Itu juga dijadikan isu. Anda kasi ‘Merry Christmas’ atas kek, okaylah. Apa salahnya hias macam tu? Tak haram,” katanya berucap pada majlis perasmian projek Tebingan Selangau dan bangunan Pejabat Daerah Selangau di Sibu, kelmarin.
Mengikut hukum akal, apa mudaratnya “Selamat Hari Krismas” pada kek? Apakah kek yang diperbuat daripada semua bahan halal jadi tidak halal dimakan hanya kerana ada tulisan “Krismas”?
Bagaimana jika tulisan “Krismas” pada kek dikikis hingga hilang, adakah ia menjadikan kek itu bertambah sedap lagi halal? Kadang-kadang ramai yang terdorong untuk membuat pertimbangan tidak masuk akal atau akal langsung tidak digunakan.
Isu itu bermula apabila tular di media sosial berkenaan larangan ucapan ‘Merry Christmas’ pada kek susulan memorandum dari sebuah syarikat bertarikh 14 Disember 2023 bertajuk ‘Not Allowed To Write The Word of Merry Christmas or X’Mas On Cakes’ (tidak dibenar menulis ucapan Selamat Hari Krismas di atas kek).
Kedai kek terbabit dalam pekeliling bertarikh 14 Disember 2023 dan ditandatangani pengurus operasi kedai roti itu mendakwa, larangan berkenaan adalah untuk mematuhi dan memenuhi keperluan pensijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Bagaimanapun, JAKIM mengesahkan tiada larangan dikenakan ke atas pemegang sijil halal menulis ucapan perayaan pada kek untuk jualan.
JAKIM dalam kenyataannya memaklumkan, premis pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bebas menulis ucapan perayaan pada kek atau seumpamanya. JAKIM berkata, isu sama pernah dijawab pada 25 Disember 2020 dan 1 November 2023.
Berikutan itu, Berry’s Cake House di Subang Jaya juga memaklumkan syarikat itu menarik balik peringatan dikeluarkan kepada kakitangan supaya tidak menerima permintaan ucapan Krismas ditulis pada kek.
Krismas yang diraikan pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia dalam tempoh empat hari lagi, apa perlunya kontroversi seperti itu?
Daripada tiada masalah kepada permasalahan, yang impaknya boleh menggugat keharmonian kaum.
Selamat menyambut Hari Natal kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Kristian.
Cerita rakan terkena Covid-19
SEORANG rakan menceritakan pengalaman hampir pengsan terkena jangkitan Covid-19 baru-baru ini dan dia tergolong antara 12,757 kes pada Minggu Epidemiologi ke-49 iaitu dari 3 hingga 9 Disember lepas, naik 88 peratus berbanding 6,796 kes dilaporkan pada minggu sebelumnya.
Terbaharu, pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-50 iaitu dari 10 hingga 16 Disember adalah sebanyak 20,696 kes, naik 62.2 peratus berbanding 12,757 kes pada ME49.
Menurut rakan itu tadi, kesan awalnya terkena jangkitan Covid-19 sudah terasa ketika dia menghadiri satu majlis di sebuah hotel.
“Daripada terketar-ketar ketika majlis itu berlangsung, saya tidak mampu bangun bersendirian dari tempat duduk tanpa bantuan. Terhuyung-hayang rasanya ketika kedua-dua kaki tidak mampu menanggung berat badan 75kg.
“Paling sukar ialah ketika terpaksa berjalan bertongkat untuk menaiki kereta pulang di depan hotel. Jika tidak kerana bantuan sahabat-sahabat, harus saya sudah jatuh tergolek di lobi hotel lagi. Sesampai di rumah, badan terus mengigil- gigil kesejukan dan ujian sendiri mengesahkan keputusan positif Covid-19, dengan pengesahan lanjut MySejahterai ia kes positif kategori 1 (tidak bergejala).
“Keesokannya semakan dengan rakan-rakan mendapati mereka semuanya negatif sebagai kontak rapat. Daya ketahanan mereka ternyata lebih kuat. Ia jadi satu kemujuran tapi ia tidak mengurangkan kesan yang ditanggung sendiri – berperang dengan kocakan perasaan, melawan ketidaktentuan dan menggagahi gejala biasanya yang menuntut banyak kesabaran dan keredaan. Kecuali demam, selesema, sakit tekak dan kelesuan, tiada pula gejala lain seperti cirit-birit, hilang deria rasa dan bau tapi ia tetap melesu dan meresahkan,” katanya.
Moga Datuk Hisham terus sihat dan dijauhi daripada Covid-19 selepas ini.
Kepada orang ramai di luar sana, jagalah diri masing-masing. Jangan tunggu hingga kerajaan mewajibkan penggunaan pelitup muka, baru nak beli. Pakailah untuk melindungi diri terutama di kawasan sesak. Sendiri mahu ingat.
Baru-baru ini pula, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyarankan pengambilan dos penggalak ketiga vaksin Covid-19 terutama bagi golongan rentan, warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi.
Bagaimanapun, tinjauan sebuah akhbar nasional mendapati rata-rata responden meluahkan rasa kurang senang dan mendakwa pelaksanaan prosedur itu berkemungkinan lebih merisikokan tahap kesihatan rakyat.
Apapun, kita perlu ikut kata pakar.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak