LAZAT… Nur Ain Sharmezza bersama kek cawan yang telah ditempah pelanggan.
KEK cawan adalah pemanis mulut yang popular dalam masyarakat kini kerana memiliki kelainan dari segi rasa, rupa dan warna.
Saiznya yang comel dan pelbagai hiasan warna-warni antara tarikan utama yang menyebabkan ramai jatuh cinta sehingga ia sering dipilih sebagai pemanis mulut bagi majlis keramaian seperti sambutan Hari Jadi.
Tidak ingin melepaskan peluang, Nur Ain Sharmezza, 25, atau lebih dikenali sebagai pemilik syarikat Foodzillakch mengambil kesempatan mengusahakan perniagaan kek cawan bagi menambah pendapatan.
“Kelebihan produk kami adalah pada cupcakes kerana pelanggan boleh membuat permintaan untuk melukis corak yang diinginkan pada permukaan cupcakes dengan menggunakan krim keju resipi kami sendiri.
“Cupcakes yang saya jual berperisa coklat dan red velvet bermula dengan RM12 untuk 12 biji dan harga akan berubah bergantung dengan permintaan pelanggan,” katanya ketika ditemu bual Utusan Sarawak baru-baru ini.
Menariknya, setiap perayaan, Nur Ain juga akan mengeluarkan corak kek cawan edisi tersendiri mengikut tema perayaan bagi menarik perhatian orang ramai untuk mencuba.
“Malah, saya turut menggunakan pelbagai jenis bungkusan menarik dan eksklusif mengikut kesesuaian majlis,” katanya.
Berkongsi mengenai perjalanan perniagaannya, selepas tamat pengajian Ijazah Sarjana muda dalam bidang Teknologi maklumat, Nur Ain membuat beberapa perniagaan sebelum fokus membuat cupcake ini.
Nur Ain bermurah hati berkongsi rezeki dengan orang yang memerlukan iaitu menyumbang barangan keperluan atau makanan kepada orang memerlukan.
“Saya pernah membuat perniagaan menjual makanan berat seperti pasta dan nasi ayam butter dan yang paling seronok ketika itu, setiap keuntungan 1 kotak yang dijual, RM1 saya simpan untuk membuat kerja amal iaitu untuk diberikan kepada gelandangan, dan pusat perlindungan,” jelasnya.
Menurut Nur Ain lagi, minat yang mendalam menyebabkan beliau akhirnya beralih kepada perniagaan kek cawan.
“Saya tidak belajar atau menyertai mana-mana kursus membuat kek cawan. Mungkin kelebihan saya pandai melukis dan saya hanya belajar resipi kek cawan secara dalam talian,” kata Nur Ain.
Tambahnya, meskipun beliau pernah menghadapi pelbagai cabaran dalam mengembangkan usaha kek cawan, minat dan sokongan pembeli membuat dirinya masih bertahan.
“Saya akui banyak lagi benda yang harus saya pelajari. Setiap pekerjaan sudah pasti ada cabaran dan masalah tersendiri apatah lagi peniaga kecil macam kami.
“Salah satu cabaran atau masalah ialah kenaikan harga barangan di pasaran. Kalau kita sebagai penjual meletakkan harga terlalu tinggi, kemungkinan tidak ramai yangg ingin membeli. Kalau terlalu rendah, kita yangg akan bermasalah sebab tiada pusingan modal yang kita akan dapat.
“Bagi peniaga baru yang hendak memulakan perniagaan, tambah ilmu, kuatkan mental dan fizikal dan jangan mudah mengalah. Setiap perniagaan ada pasang surutnya. Bangkit dan terus kuatkan semangat,” katanya.
Oleh SYAHIDA HASSAN