Kalau sebut sahaja kek batik, pasti ramai terbayang keenakan rasa kek yang berwarna coklat kehitaman yang cukup lemak dan manis.
Keenakan rasa kek batik ini diakui ramai sejak berzaman bak kata perpatah, tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.
Jadi, tidak hairanlah kalau sehingga kini Kek Batik masih lagi menjadi pilihan pelbagai jenis lapisan masyarakat tidak kira muda ataupun tua.
Kebiasaannya, Kek batik dijadikan hidangan ketika musim perayaan, majlis keramaian, majlis hari jadi dan minum petang.
Bagaimanapun, kek ini kini turut dijadikan sebagai kuih atau ‘goodies’ (cenderamata) semasa acara perkahwinan dan kenduri -kendara dalam kalangan masyarakat Melayu.
Menurut salah seorang penggemar Kek Batik, Amirah Amin,27, terdapat pelbagai variasi resepi yang ada untuk menghasilkan Kek Batik.
Jelasnya, ada resepi Kek Batik yang menggunakan telur dan ada yang tidak menggunakan telur.
“Jika menggunakan resipi yang banyak telur, salutan kek batik agak kenyal dan tidak melekat.
“Namun, jika tanpa telur pula, salutan coklat akan sedikit melekat dan perlu direhatkan semalaman di dalam peti ais sehingga beku barulah boleh dipotong dan dimakan,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Anak sulung dari empat beradik ini memberitahu, Kek Batik merupakan salah satu kek yang senang untuk dibuat kerana hanya menggunakan biskut dan beberapa bahan lain.
“Untuk menghasilkan Kek Batik, bahan-bahan yang diperlukan cuma biskut marie, susu pekat, milo, creamy marjerin, dan serbuk koko.
“Kek batik biasanya tidak perlu dibakar dalam ketuhar. Ia juga tidak memerlukan peralatan istimewa seperti “mixer” atau alatan membuat kek yang lain.
“Hanya beberapa perkakas seperti kuali, sudip, spatula, loyang dan kertas minyak yang diperlukan,” ujarnya.
Graduan Sarjana Muda dalam bidang teknologi maklumat ini memberitahu, cara penyediaan Kek Batik amat mudah dan tidaklah serumit yang disangka.
“Marjerin dipanaskan di dalam kuali menggunakan api perlahan sehingga cair. Masukkan susu pekat, milo, dan serbuk koko dan dikacau sehingga sebati.
“Seterusnya, masukkan biskut marie yang telah dipatahkan dan kacau sehingga keseluruhan biskut disaluti dengan sos coklat.
“Kemudian, adunan tadi dimampat ke dalam loyang yang telah dilapik dengan kertas minyak dan disejukkan semalaman sebelum dipotong dan dimakan,” jelasnya.
Jelas Amirah, seiring dengan peredaran zaman, kini Kek Batik diolah dengan pelbagai bentuk dan hiasan mengikut kreativiti seseorang.
“Ada yang menambah ‘chocolate ganache” atau keju di permukaan atas Kek Batik. Ada juga yang menghias permukaan Kek Batik dengan pelbagai hiasan seperti buah-buahan, manisan dan sebagainya.
“Ini semua terpulang kepada kreativiti individu bagi menghasilkan Kek Batik yang lebih menarik, ” ujarnya.
Oleh NURZILLA MOHAMAD