
SEPERTI lazimnya, semua mata akan tertumpu kepada berita pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada malam Ahad ini, 30 Mac 2025.
Pada lewat petang Ahad, adalah tarikh melihat anak bulan Syawal bersamaan 29 Ramadan 1446 Hijrah di 29 lokasi cerapan termasuk tiga di Sarawak iaitu Pusat Falak, Miri; Teluk Bandung, Kuching dan Pusat Falak Bintulu.
Tarikh cerapan anak bulan Syawal di seluruh Malaysia ditetapkan menurut perintah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
Tarikh Awal Syawal akan diumumkan pada malam itu juga melalui Radio dan Televisyen untuk seluruh umat Islam di Malaysia.
Andai tarikh Aidilfitri diumumkan untuk disambut pada keesokan harinya, Isnin 31 Mac, bermakna kejutan seperti tiga tahun lalu berulang.
Namun, jangkaan untuk Hari Raya adalah Selasa, 1 April 2025.
Mungkin generasi muda khususnya remaja tidak merasai ‘kejutan’ sambutan Hari Raya dulu-dulu dan mengangggap kejutan Aidilfitri seperti pada 2022 lalu sebagai perkara luar biasa.
Pada zaman 1970-an, 1980-an dan awal 1990-an, pengumuman tarikh Aidilfitri penuh teka-teki dengan unsur kejutan sehinggalah kaedah melihat anak bulan Syawal diubah pada 1993 iaitu penentuan awal Ramadan dan Syawal menggunakan kaedah rukyah dan hisab. Pendeknya, awal Ramadan dan 1 Syawal sudah boleh dijangka.
Nescaya, ada yang suka atau tidak suka dengan kejutan.
Bagi sesetengah suri rumah, 1 Syawal mengejut menyusahkan mereka membuat persiapan akhir seperti memasak kuih-muih, rendang dan sebagainya kerana ada bahan yang tidak boleh dimasak terlalu awal.
“Dulu-dulu, saya suka kejutan 1 Syawal, sebab ada ‘ummph’.
Itu yang istimewanya,” kata seorang rakan.
Katanya, sejak penggunaan kaedah rukyah dan hisab iaitu 1 Syawal sudah boleh dijangka, bagaikan tiada lagi ‘ummph’.
“Dulu-dulu, pengumuman tarikh hari raya, amat menyeronokkan. Bayangkan semua ahli keluarga dalam rumah ‘terpacak’ di hadapan televisyen menunggu Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengumumkan tarikh Aidilfitri seperti lazimnya berlaku pada 1960-an, 1970-an dan 1980-an.
Ketika itu, cuma ada RTM. Tiada TV3, tiada Astro.

Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad
MANUSIA PALING DINANTIKAN
“Beliaulah (penyimpan mohor) paling glamour dan satu-satunya manusia yang amat dinantikan oleh semua rakyat Malaysia pada malam pengumuman raya.
Sekarang keadaan sudah tidak sama, kerana tarikh 1 Syawal macam sudah boleh diagak atau dikira, dah tahu lebih awal,” katanya.
Sejak 1993, penentuan awal Ramadan dan Syawal menggunakan kaedah rukyah dan hisab iaitu penggunaan syarat nampak anak bulan bagi membuat justifikasi kenampakan anak bulan.
Ada tiga amalan berbeza dalam menentukan awal bulan hijriah.
Amalan itu ialah rukyah, iaitu melihat anak bulan semata-mata, hisab falak semata-mata serta rukyah dan hisab menggunakan kriteria imkanur rukyah, iaitu menggunakan hisab dalam menentukan kebolehnampakan anak bulan atau hilal.
Seorang lagi rakan menceritakan keadaan ketika dia menempoh zaman remaja dahulu, kini sudah berusia lebih setengah abad.
“Saya teringat zaman kanak-kanak hingga remaja, terpacak di depan televisyen bersama ahli keluarga lain, menjelang hujung Ramadan menunggu pengumuman rasmi Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, lazimnya sebelum atau selepas sahaja solat Maghrib.
“Semua kerja dihentikan, memasak, mengemas, pasang langsir atau tengah makan sekali pun….kerana terpaku depan televisyen untuk seketika.
Andai diumumkan lusa hari raya, tiada apa yang berlaku kerana keesokan harinya puasa hari terakhir disambung dan ada banyak masa lagi untuk membeli-belah atau mencari barang keperluan raya yang belum sempat dibeli.
“Tetapi, yang ‘ummph’ sekali ialah apabila Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengumumkan ‘esok raya’, sekali gus menyebabkan keadaan menjadi kelam-kabut. Kedai dengan serta merta dipenuhi orang ramai.
“Kanak-kanak akan terus mandi, kerana tak sabar nak pakai baju baharu, lepas itu berjalan-jalan atau bermain mercun dan bunga api di halaman rumah.
“Golongan wanita pula akan terus sibuk di dapur, membakar kuih-muih, ketupat, memasak daging dan ayam, selain mula mempersiapkan langsir baharu.
Satu kampung akan meriah dengan dentuman mercun, percikan bunga api dan orang ramai lalu-lalang, kerana masing-masing ada urusan sama ada untuk ke kedai, jumpa kawan untuk bersembang atau sengaja bergembira di jalanan.
SUASANA MERIAH
“Takbir raya di masjid memeriahkan lagi suasana. Program televisyen pula tiba-tiba bertukar dengan pelbagai bentuk hiburan, diselang seli takbir raya,” katanya.
Apakah anda pernah mengharungi senario seperti ini? Jika anda berusia 40 tahun ke atas, pastinya anda melalui zaman ‘kejutan 1 Syawal’ ini.
Pada 2022 berlaku kejadian ‘raya mengejut’ apabila tarikh hari raya berlaku lebih awal menyebabkan orang ramai kelam kabut untuk melakukan persiapan raya.
Seperti kita sedia maklum, terdapat dua ketetapan tempoh berpuasa pada Ramadan iaitu sama ada 29 atau 30 hari.
Jika anak bulan kelihatan pada malam ke-29, bermakna tempoh berpuasa telah berakhir dan esoknya merupakan hari lebaran bagi meraikan kemenangan melaksanakan ibadah puasa wajib.
Seandainya anak bulan tidak kelihatan pada malam tersebut, umat Islam akan berpuasa sehari lagi.
Berdasarkan dua situasi itu, jelas menunjukkan sebenarnya tiada istilah ‘raya mengejut’ kerana umat Islam sudah sedia maklum tarikh cerapan anak bulan Syawal.
Mungkin kerana anak bulan jarang kelihatan dan lebih banyak tahun berpuasa genap 30 hari menyebabkan raya sehari awal itu dianggap satu perkara mengejutkan.
Bagi mereka yang hidup di era 1970-an dan awal 1980-an, pasti masih ingat beberapa kali berlaku raya awal sebaik sahaja pengumuman dibuat menerusi radio atau televisyen.
Tapi pada ketika itu, umat Islam tidak pula rasa kelam kabut, sebaliknya semua menerima ketetapan dengan tenang dan rasa syukur.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.