PENGUNDI MUDA… 3.8 juta pengundi muda baharu berusia 18 tahun yang kali pertama akan mengundi kali ini yang dianggap sesetengah pihak sebagai penentu masa depan negara pada PRU-15 nanti.
Apakah peristiwa 1999 berulang untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini? Ini berikutan tindakan mempercepatkan pembentangan Bajet 2023 iaitu pada 7 Oktober ini, tiga minggu dari tarikh sebenar pada 28 Oktober, sekali gus mengundang spekulasi untuk mengadakan pilihan raya.
Bentang Bajet 2023, kemudian bubar Parlimen untuk membolehkan PRU-15 diadakan dalam tahun ini? Jika ini berlaku, sejarah 23 tahun lalu akan berulang.
Pada 29 Oktober 1999, Menteri Kewangan Pertama ketika itu, Tun Daim Zainuddin membentangkan Belanjawan 2000. Ketika sidang Dewan Rakyat masih membahas bajet itu, rakyat dikejutkan dengan pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, berkuat kuasa 12 November 1999.
Itu kali pertama dalam sejarah sidang Parlimen dibubarkan, ketika Belanjawan 2000 sudah dibentang, terhenti sehingga selepas keputusan pilihan raya diumumkan dan Belanjawan dibentangkan sekali lagi kemudian.
Tempoh hayat Parlimen ketika itu hanya akan berakhir pada Jun 2000, hampir sama seperti keadaan hayat Parlimen sekarang yang hanya akan berakhir pada Mei 2023.
Bezanya cuma Barisan Nasional (BN) ketika itu memiliki majoriti dua pertiga kerusi dalam Parlimen, berbanding kerajaan minoriti sekarang ini.
Ini juga bermakna, Bajet 2023 yang bakal dibentang 7 Oktober ini, boleh berdepan masalah andai gagal diluluskan sekiranya ada kelompok Ahli Parlimen tidak menyokongnya.
Jika itu berlaku, ia umpama ‘undi tidak percaya’ terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pilihan terbaik beliau andai itu berlaku ialah untuk mendapat segera perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan Parlimen.
Ini boleh berlaku dan dilakukan terutama oleh kelompok yang mahu PRU-15 disegerakan, dengan tidak menyokong undian Bajet 2023, bagi memaksa Perdana Menteri membubar Parlimen.
Mungkin menyedari hakikat ini dan risikonya, memungkinkan Perdana Menteri membubarkan terus Parlimen selepas pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober ini – keadaan sama dilakukan Dr Mahathir pada 1999.
Ketika itu, meskipun kerajaan pimpinan Dr Mahathir menguasai majoriti dua pertiga di Parlimen, beliau berdepan masalah ‘luaran dan dalaman’.
Ini kerana PRU-10 pada 1999 itu diadakan setahun selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri. Rentetan daripada situ, bermulanya gerakan reformasi dan demontrasi di jalanan. Semuanya sudah berada dalam lipatan sejarah.
Tumpuan Bajet 2023
Apapun, kini tumpuan kepada pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober ini, dan apa yang bakal berlaku selepas itu.
Berdasarkan risikan, PRU-15 bagaikan bakal menjelma sebelum akhir tahun ini.
Petunjuk terbaharu ke arah itu ialah pelbagai pengumuman berita gembira untuk penjawat awam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, kelmarin.
Antaranya, penjawat awam Gred 11 hingga Gred 56 bakal menikmati Bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) tambahan khas sebanyak RM100 mulai Januari depan.
Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM700 bagi anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah membabitkan 1.3 juta kakitangan dan RM350 bagi pesara dan veteran kerajaan tidak berpencen.
Malah, kerajaan memberikan tambahan Kadar Cuti Rehat Khas sebanyak lima hari menjadikan jumlah Cuti Rehat Khas 15 hari setahun kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang telah berkhidmat melebihi 10 tahun.
Kebanyakan ‘berita baik’ diumumkan Perdana Menteri itu, berkuat kuasa mulai Januari depan. Ini satu lagi bayangan bahawa PRU-15 diadakan sebelum Januari depan iaitu menjelang akhir tahun ini, mungkin November.
Jika diamati selama ini, setiap kali menjelang pilihan raya umum… sesuatu berita gembira diumumkan.
Pada 2007, Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan kenaikan gaji bagi 1.02 juta kakitangan awam sehingga 35 peratus berkuat kuasa 1 Julai ini 2007. Kerajaan juga menaikkan kadar bantuan sara hidup atau COLA sebanyak 100 peratus.
Pada 2018, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan sembilan khabar gembira untuk penjawat awam dan pesara. Antaranya, pemberian kenaikan gaji tahunan (KGT) kepada semua 1.6 juta penjawat awam, berkuat kuasa 1 Julai 2018.
Tidak hairanlah kerusi Parlimen Putrajaya, yang pengundinya lebih 90 peratus kakitangan awam, sukar dimenangi pembangkang.
Secara keseluruhannya, belum diketahui lagi apakah impak pengumuman Perdana Menteri kelmarin pada PRU-15 nanti.
Undi 18
Ini kerana ada 3.8 juta pengundi muda baharu berusia 18 tahun yang kali pertama akan mengundi kali ini yang dianggap sesetengah pihak sebagai penentu masa depan negara pada PRU-15 nanti.
Ini bermakna, ada pertambahan 7.8 juta pengundi baharu dijangka berlaku dalam pilihan raya akan datang. Pertambahan ini menunjukkan jumlah pengundi baharu mewakili 34 peratus daripada keseluruhan jumlah pengundi. Dalam kata lain, tiga daripada 10 pengundi ialah pengundi baharu.
Kehadiran mereka dijangka mampu mengubah senario politik semasa jika semua pengundi ini keluar mengundi ketika pilihan raya nanti.
Mampukah Undi 18 mengubah gaya politik tradisional?
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak