
KOTA SAMARAHAN: Penganjuran Kejohanan Sepak Takraw Piala Sarawak dilihat dapat mengenal pasti pemain berbakat di negeri ini terutamanya dalam usaha membentuk pasukan ke temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Selangor nanti.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata penganjuran kejohanan itu sekali gus dapat membentuk pasukan takraw Sarawak yang lebih mantap seterusnya diketengahkan di pentas sukan kebangsaan dan antarabangsa.
“Saya melihat potensi permainan tradisi ini amat besar terutamanya pemain bawah 20 tahun, malah ramai belia tempatan kita berjaya mencipta nama dalam arena sukan ini termasuk sukan sepak takraw.
“Maka, kita mahu bakat-bakat dan potensi dimiliki kalangan belia di negeri ini dapat ditonjolkan dalam landasan sedia ada supaya kebolehan dimiliki mereka dapat dimanfaatkan dalam lapangan masing-masing,” katanya semasa menyempurnakan majlis perasmian Kejohanan Sepak Takraw Piala Sarawak 2025 di Stadium Tertutup Kota Samarahan, pagi tadi.

Rubiah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan berkata beliau amat gembira kerana kejohanan anjuran Persatuan Sepak Takraw (PSS) dengan kerjasama Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) mendapat sambutan yang sangat baik, bukan sahaja dari 10 bahagian seluruh Sarawak, malah turut melibatkan penyertaan belia dan wanita.
“Kejohanan Sepak Takraw Piala Sarawak ini juga berperanan sebagai tapisan awal untuk mengenal pasti pemain berpotensi tinggi yang boleh diketengahkan, termasuk menyertai temasya SUKMA akan datang,” ujarnya.
Turut hadir Presiden PSS Dato Ismail Abang Saufi, Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang, Pegawai Daerah Samarahan Ahmad Abdul Razak serta Timbalan Presiden PSS Mohammad Nizam Wang.
Oleh Adi Safarman