
KOTA SAMARAHAN: Kejohanan Sepak Takraw Piala Sarawak 2025 terus membuktikan peranannya sebagai wadah penting dalam usaha memartabatkan sukan tradisi dan mencungkil bakat muda di peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang menyifatkan penganjuran kejohanan dwitahunan oleh Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS) dengan kerjasama Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Persatuan Sepak Takraw Bahagian Samarahan (SDTA) sebagai platform strategik dalam memastikan kelestarian sukan warisan serta pembangunan atlet pelapis dari seluruh pelosok negeri.
“Sepak takraw bukan sekadar satu cabang sukan, ia adalah warisan yang mencerminkan jati diri bangsa kita. Melalui penganjuran kejohanan ini, kita bukan sahaja memelihara tradisi, tetapi turut membuka ruang kepada anak muda untuk menyerlahkan potensi mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis makan malam rasmi kejohanan yang berlangsung di Dewan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak semalam.

Tambah beliau, lebih membanggakan apabila semua peserta edisi kali ini terdiri daripada pemain bawah 20 tahun membuktikan kejohanan ini menjadi landasan awal untuk melahirkan atlet berdaya saing ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Beliau turut menyentuh peranan sukan dalam menangani isu semasa dalam kalangan remaja, khususnya kesihatan mental seperti yang dibangkitkan dalam Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dengan menyatakan bahawa penglibatan aktif belia dalam sukan mampu membina ketahanan fizikal, mental dan sosial.
“Dengan adanya Dana Sukan Komuniti (DSK) yang menyediakan geran sehingga RM20,000 kepada pertubuhan sukan dan belia berdaftar, kerajaan terus komited menyokong pembangunan sukan di peringkat komuniti,” jelasnya.
Presiden PSS, Dato Ismail Abang Saufi dalam ucapannya pula menggesa agar lebih ramai pemain muda Sarawak digilap secara berterusan dan diberi sokongan agar dapat membawa nama negeri ke pentas lebih tinggi.
Majlis tersebut turut meraikan kejayaan penganjuran kejohanan yang menghimpunkan 10 pasukan dari seluruh bahagian Sarawak, sekali gus menonjolkan populariti sepak takraw dalam kalangan generasi muda serta semangat kesukanan yang kukuh dalam komuniti.
-UKAS