
Kejohanan Pra Terbuka Boling Tenpin Antarabangsa Sarawak 2025 serlahkan bakat muda
KUCHING: Kejohanan Pra Terbuka Boling Tenpin Antarabangsa Sarawak 2025 yang berlangsung di Megalanes Sarawak, Emart Batu Kawa hari ini menyerlahkan usaha Persatuan Boling Amatur (Tenpin) Sarawak (ABAS) dalam membangunkan bakat muda menerusi program akar umbi.
Majlis turut dihadiri Senator Dato’ Ahmad Ibrahim, yang menegaskan kejayaan sebenar sukan bukan sekadar diukur dengan pingat atau piala tetapi melalui disiplin, keyakinan diri dan semangat kesukanan yang dibina sejak peringkat sekolah.
Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah dan penghargaan bagi setiap kategori iaitu Pertandingan Individu Campuran Sekolah Rendah, Pertandingan Individu Campuran Sekolah Menengah, Pertandingan Individu Campuran Jurulatih, Individu Bawah 12 Tahun Perempuan, Individu Bawah 12 Tahun Lelaki, Individu Bawah 17 Tahun Perempuan dan Individu Bawah 17 Tahun Lelaki.
Kejohanan tersebut juga menjadi persediaan awal menjelang Kejohanan Boling Tenpin Terbuka Antarabangsa 2025 yang akan berlangsung September nanti.
Turut hadir Naib Presiden Persatuan Boling Amatur Sarawak (ABAS) Robert Lu Nam Min.
Oleh Masrin Affirah