
SARIKEI: Pertandingan sukan pickleball anjuran Kelab Repok Pickleball Sarikei berjaya mencuri tumpuan apabila menarik penyertaan seramai 128 pemain, melibatkan 32 pasukan dalam kejohanan yang berlangsung selama dua hari di Stadium Sukan SSC.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab berkata, beliau berbangga dengan penganjuran kejohanan tersebut yang bukan sahaja berjaya menarik minat penduduk setempat, malah turut mendapat penyertaan dari luar Daerah Sarikei.
“Syabas diucapkan kepada semua peserta dan selamat datang khususnya kepada mereka yang datang dari luar daerah.
“Sukan pickleball semakin mendapat sambutan kerana mudah dipelajari serta boleh dimainkan oleh semua peringkat umur sama ada tua atau muda, lelaki mahupun wanita.
“Sukan ini mendapat sambutan yang amat baik dengan penyertaan yang ramai, sekali gus menjadi peluang untuk mengeratkan hubungan sesama peserta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ringkas perasmian pembukaan pertandingan sukan tersebut, semalam.
Beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM3,000 sebagai sokongan kepada Kelab Repok Pickleball Sarikei dan pertandingan yang dianjurkan.
“Saya berharap agar pada masa akan datang, pertandingan seperti ini dapat dianjurkan di peringkat Sarawak, supaya lebih ramai lagi yang dapat mengenali dan menceburi sukan ini,” tambahnya.
Turut hadir Pengerusi Kelab Repok Pickleball Sarikei, Teng Ung Woo.
Oleh Earl Anek