
SIBU: Kejohanan Pickleball Newborn 2.0 anjuran Persatuan Pickleball Iplay Swan Squad (IPSS) telah melabuhkan tirainya, semalam.
Acara tersebut yang berlangsung di gelanggang IPSS di sini, menyaksikan penyertaan sebanyak 10 pasukan dalam kategori beregu wanita dan 24 pasukan dalam kategori beregu lelaki.
Bagi kategori beregu wanita, pasangan Amy Tiong Siew Ling dan Cecilia Wong Sieh Ping dinobatkan sebagai juara setelah menunjukkan aksi mantap sepanjang kejohanan.
Bagi kedudukan naib juara pula menjadi milik Yong Hung Hiong dan Doreen Tiong, manakala tempat ketiga bersama dimenangi oleh dua pasangan iaitu Kelly Ting Ying Ying dan Low Chiek Yee, serta Siti Harrysah Ali dan Dolly Tiew Siew Wee.
Sementara itu, dalam kategori beregu lelaki, pasangan Leon Wong dan John Wong berjaya merangkul kejuaraan, diikuti oleh pasangan Nathan Ngu Teck Ting dan Aaron Ling Sie Hieng di tempat naib juara.
Dua pasangan yang meraih tempat ketiga bersama ialah Faiz Ali dan Valentine Vincent Puin, serta Alan Tan Kuok Lung dan Tien Shaun Ching.
Kejohanan ini bukan sahaja menjadi platform untuk persaingan sihat bagi pemain baharu, tetapi juga membantu memupuk semangat kesukanan serta memperkenalkan sukan pickleball kepada komuniti setempat.
Oleh Akun Giman