
KUCHING: Kejohanan Petanque Beregu Terbuka Sri Santubong edisi ke-17 dan Piala Landas PSPBK 2025 akan kembali berlangsung pada 6 dan 7 September ini, di Pusat Petanque Sarawak, Santubong.
Menurut Penyelaras Kejohanan, Alfian Bawi, penganjuran kejohanan ini bertujuan untuk memperkukuh pembangunan sukan petanque di Sarawak, mencungkil bakat-bakat baharu, serta mengukuhkan semangat persahabatan dalam kalangan penggiat sukan dari Malaysia, Thailand dan Indonesia.
“Dua kategori utama akan dipertandingkan dalam kejohanan ini, iaitu kategori Beregu Terbuka dengan yuran penyertaan sebanyak RM120 bagi setiap pasukan, dan kategori Beregu Wanita dengan yuran sebanyak RM100 sepasukan.
“Setakat ini, sebanyak 99 pasukan telah mendaftar bagi kategori Beregu Terbuka, manakala 55 pasukan telah mengesahkan penyertaan dalam kategori Beregu Wanita,” katanya pada sidang media di Sarawak Plaza petang ini.

Tambahnya, pasukan yang mengambil bahagian datang dari pelbagai negeri termasuk Sabah, Perak, Pahang, Terengganu, institusi seperti Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), agensi kerajaan seperti Jabatan Kesihatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), serta kelab-kelab tempatan dari seluruh Sarawak. Turut serta adalah pasukan jemputan dari Indonesia dan Thailand.
“Dari segi format pertandingan, pusingan awal bagi Piala Utama akan dijalankan mengikut sistem dua kali kalah, sebelum beralih kepada sistem kalah mati bagi pusingan seterusnya.
“Pasukan yang tersingkir awal akan terus beraksi dalam saingan Piala Sumbangsih. Semua perlawanan akan dijalankan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Persekutuan Petanque Antarabangsa (FIPJP).
“Johan kategori Beregu Terbuka akan membawa pulang wang tunai RM6,000 berserta piala pusingan, manakala johan kategori Beregu Wanita akan menerima RM2,500 bersama piala pusingan. Sementara itu, johan Piala Sumbangsih akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM400,” katanya.
Alfian menambah penganjuran kali ini meneruskan kejayaan edisi lalu dan dijangka menarik lebih banyak penyertaan, sekali gus mengukuhkan kejohanan ini sebagai acara tahunan penting dalam kalendar sukan negeri.
“Kejohanan ini bukan sekadar pertandingan, tetapi wadah untuk mengukuhkan silaturahim antara komuniti sukan petanque, sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa,” katanya.
Penganjuran kali ini merupakan hasil kerjasama antara Persatuan Sukan Petanque Bahagian Kuching (PSPBK), Kelab Sosial Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (LANDAS), Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (PELITA), serta Lea Sports Centre.
Turut hadir, Pengerusi Persatuan Sukan Boules Sarawak Dato Wan Abdillah Edruce, Pengerusi Kelab Sukan dan Sosial Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Serian Abdul Khalil Amit, Pengerusi Kelab Sukan dan Sosial Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Samarahan Mohammad Zunica Mohamad Sapiee, Pengurus Kanan Corporate Affairs Division LCDA Saiful Bahari Amra Ramly, wakil kepada Raymond Sim Hee Pang, Pengarah Urusan Lea Sports Centre (LSC), Alice Kho.
Oleh Norman B