KUANTAN: Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia Cahya Mata 2024 yang membuka tirainya hari ini bakal merancakkan pembangunan atlet di peringkat akar umbi di samping menonjolkan bakat atlet senior negara ke peringkat Asia dan dunia.
Setiausaha Jawatankuasa Pengelola kejohanan Datuk R. Annamalai berkata, hal ini kerana kejohanan yang berlangsung selama tiga hari di Stadium Darul Makmur di sini bakal menampilkan 578 atlet terdiri daripada 17 pasukan dalam negara dan lapan negara luar seperti Australia dan Rusia.
“Trek kita telah diberi pengiktirafan oleh World Athletics (Olahraga Dunia) dengan semua rekod dicapai akan diberi pengiktirafan dan markah kepada atlet, ini menjadi tarikan buat para atlet dalam negara dan antarabangsa menyertainya.
“Kejohanan ini juga secara langsung memberi ruang kepada atlet kita, Muhammad Azeem Mohd Fahmi dan Shereen Samson Vallabouy untuk mencatat kemenangan bagi memperbaiki catatan rekod larian mahupun mengutip mata tinggi bagi menyertai temasya Olimpik di Paris mengikut merit,” katanya pada sidang media selepas Majlis Aluan kejohanan berkenaan di sini, semalam.
Annamalai berkata pihaknya berbesar hati mengadakan kejohanan itu di bandar raya ini sejak kali terakhir menjadi hos 25 tahun lepas dan beliau amat berterima kasih kepada pihak penaja, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) serta mereka yang terlibat menjayakannya.
Sementara itu, Muhammad Azeem ketika ditemui selepas sesi latihan berkata, beliau meletakkan dirinya dalam keadaan tiada tekanan untuk tampil cemerlang pada kejohanan berkenaan.
“Saya akan menyertai acara larian 100 meter dan 200 meter dan saya merasakan sudah bersedia untuk beraksi.
“Saya cuba untuk menikmati pertandingan ini dan tidak terlalu memikirkan tentang saingan pencabar mahupun memecahkan sebarang rekod, cuma saya yakin jika tenang, saya mampu menghasilkan keputusan yang baik,” katanya.
Bagaimanapun, Muhammad Azeem berkata berdasarkan pemerhatiannya, kini terdapat lebih ramai atlet muda dan senior yang dilihat berpotensi memberi saingan hebat.
“Saya percaya mereka adalah pelari pecut yang bagus dan dapat memberikan saingan, namun cabaran terbesar kejohanan ini adalah mengatasi diri sendiri.
“Oleh itu, persiapan saya dari pelbagai sudut antaranya persediaan mental, pemulihan, pengambilan makanan dan hidrasi dilihat amat penting bagi diri saya,” katanya. – Bernama