SIMANGGANG: Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Sarawak (MSS) ke-51 dilihat sebagai landasan terbaik untuk mencari pelapis atlet olahraga.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis, justeru berkata, kejohanan olahraga itu akan dijadikan sebagai platform untuk mencungkil dan mengasah bakat sukan olahraga dalam kalangan murid-murid sekolah.
Kejohanan itu kelak, jelasnya, akan melahirkan murid-murid yang dapat mewakili Sarawak dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) seperti yang dianjurkan baru-baru ini.
“Kejohanan ini tidak semata-mata menentukan juara dan pemenang bagi sesuatu acara.
“Kejohanan ini memberikan pendidikan secara tidak langsung kepada murid-murid dan atlet bahawa kejayaan hanya dapat dicapai melalui usaha, ketekunan, perancangan yang rapi dan pengorbanan.
“Tidak ada kejayaan yang mudah dicapai melainkan melalui perjuangan yang berterusan,” katanya berucap merasmikan Kejohanan Olahraga MSS Sarawak ke-51 bertempat di Kompleks Sukan Sri Aman, hari ini.
Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata, perubahan sistem pendidikan kini tidak lagi menilai murid-murid melalui kecemerlangan akademik sahaja.
Murid, katanya, juga dinilai dalam bidang kokurikulum.
“Aktiviti sukan juga telah diambil kira dalam kemenjadian murid di sekolah kerana penilaian adalah secara holistik.
“Pada saya, peranan ibu bapa juga adalah sangat penting dalam membentuk keperibadian dan kemenjadian anak-anak dalam melalui proses pembelajaran di dalam dan di luar sekolah.
“Di sekolah, para guru membantu mencungkil dan menggilap serta memupuk anak-anak untuk lebih menonjol keperibadian yang terpuji, prestasi yang cemerlang serta kemahiran dan kebolehan mereka dalam apa jua bidang yang diminati,” katanya.
Harden menjelaskan, kegiatan sukan yang berterusan akan menjadi satu daripada benteng yang menjadi penghalang kepada murid-murid daripada terlibat dalam pelbagai aktiviti yang tidak sihat.
“Kita sedia maklum bahawa kerajaan Sarawak sangat menyokong dan menggalakan anak muda bergiat dalam bidang sukan dengan bersungguh-sungguh, disamping menaikkan nama Sarawak.
“Di persada sukan tertinggi, insentif juga diberi kepada pemenang sebagai suntikan semangat tidak mengaku kalah dengan slogan ‘Agi Idup Agi Ngelaban’,” tambahnya.
Turut hadir ialah Pengarah Pendidikan Sarawak, Datuk Dr Azhar Ahmad; Pegawai Pendidikan daerah Sri Aman, Abdul Rahman Muhyiddin dan Pegawai Daerah Sri Aman, Shariff Bujang.
Kejohanan yang telah bermula semalam itu disertai sebanyak 13 kontinjen yang terdiri seramai 1,096 atlet bagi peringkat umur sekolah rendah dan menengah.
Oleh Adi Safarman