
SIBU: Arena tenis Sibu mencatatkan satu pencapaian memberangsangkan apabila Next Gen Tennis Club (NGTC) berjaya menganjurkan Kejohanan Next Gen Fun Tennis 2026, baru-baru ini.
Dengan sokongan Persatuan Lawn Tenis Bahagian Sibu (SDLTA), penganjuran kejohanan tersebut bertujuan merapatkan jurang antara generasi melalui minat bersama terhadap sukan tenis.
Kejohanan berkenaan menampilkan format unik dengan penyertaan seramai 24 pemain, terdiri daripada 12 pemain junior dan 12 pemain dewasa.
Format ini dirangka khusus bagi menggalakkan golongan dewasa yang baharu menceburi sukan tenis, di samping memberi peluang kepada bakat junior Sibu untuk menguji kemahiran mereka dalam suasana kompetitif tetapi mesra.
Acara dimulakan dengan upacara pembukaan penuh semangat menerusi simbolik ‘servis kick’disempurnakan oleh Ahli Jawatankuasa Eksekutif NGTC, Brandon Wong dan Terence Tan.
“Objektif utama kami adalah untuk menyemai minat yang lebih mendalam terhadap sukan tenis dalam kalangan orang dewasa yang baharu mengenali permainan ini.
“Dengan menggandingkan mereka atau mempertemukan mereka dalam perlawanan bersama pemain junior berbakat, kami dapat membentuk komuniti dinamik yang mana semua pihak boleh belajar dan berkembang bersama,” kata wakil NGTC.
Suasana di gelanggang dipenuhi semangat muhibah dan keceriaan apabila kesemua 24 pemain mempamerkan semangat kesukanan serta kesungguhan.
Seiring peningkatan populariti tenis di rantau ini, penganjuran acara seperti Next Gen Fun Tennis 2026 memainkan peranan penting dalam memperkukuh budaya sukan tempatan.
Untuk maklumat lanjut mengenai klinik dan kejohanan akan datang, orang ramai digalakkan melayari laman Facebook Persatuan Lawn Tenis Bahagian Sibu atau menghubungi Next Gen Tennis Club secara langsung.
Oleh Akun Giman