
KUCHING: Kejohanan Muaythai Piala Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak kembali untuk edisi kesembilan, berlangsung dari 1 hingga 4 Mei di Tebingan Sungai Kuching.
Tahun ini, lebih 250 peserta dari seluruh Malaysia dan tujuh negara termasuk Indonesia, Brunei, Filipina, Thailand, United Kingdom, Yemen dan Iran bakal berentap dalam 130 pertarungan Muaysport dan 16 Superfight Pro.
Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS), Jumaat Ibrahim berkata, penganjuran tahunan ini memperkukuh nama Sarawak dalam arena sukan muaythai antarabangsa, selain merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi negeri.
“Penyertaan peserta luar negara yang semakin meningkat setiap tahun membuktikan impak besar kejohanan ini,” katanya.
Edisi kali ini turut memperkenalkan Piala Borneo 2025 sebagai rebutan tambahan, di samping pelbagai aktiviti sampingan termasuk perlawanan e-sukan, persembahan seni bela diri dan pertunjukan gusti.
PMNS menganjurkan kejohanan ini dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP), Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED), serta agensi berkaitan.
Majlis penyampaian Piala TYT dijadualkan pada malam Sabtu manakala Piala Borneo 2025 akan disampaikan pada Ahad.