
TANJUNG MANIS: Seramai 329 atlet murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) dari 25 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) menyertai kejohanan merentas desa pendidikan khas Majlis Sukan Sekolah (MSS) Peringkat Sarawak 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belawai.
Hadir bagi melakukan pelepasan peserta ialah Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab pada pagi tadi.
Katanya, penganjuran kejohanan tersebut merupakan platform penting bagi memberi ruang kepada murid berkeperluan pendidikan khas menyerlahkan bakat dan potensi mereka dalam bidang sukan secara inklusif dan berdaya saing.
“Program seumpama ini mampu membina keyakinan diri, semangat daya saing serta memperkukuh pembangunan sahsiah peserta

“Saya berharap agar semua peserta, guru pengiring dan petugas sentiasa mengutamakan aspek keselamatan sepanjang kejohanan berlangsung,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak Sektor Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak bersama PPD Daro dan PPD Sarikei atas komitmen menganjurkan kejohanan tersebut.
Kejohanan tersebut melibatkan enam kategori pertandingan yang disertai wakil dari seluruh Sarawak.
Selain itu, Yusuf turut melakukan simbolik penyerahan tapak projek siap di bawah peruntukan Projek Mesra Rakyat (PMR) 2025 melibatkan kerja-kerja baik pulih dan naik taraf gelanggang sukan di SMK Belawai.
Projek tersebut melibatkan naik taraf gelanggang takraw, futsal dan bola jaring dengan nilai keseluruhan sebanyak RM200,000 dan dijangka memberi manfaat besar kepada warga sekolah khususnya dalam memperkasa aktiviti sukan serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan pelajar.
Oleh Earl Anek