
SPAOH: Kejohanan Merentas Desa Pendidikan Khas Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Sarawak yang dianjurkan setiap tahun membuktikan murid berkeperluan khas mampu bersaing dengan murid perdana yang lain.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata, bakat dan keyakinan diri anak-anak istimewa dapat diserlahkan dengan bimbingan serta tunjuk ajar guru-guru mahupun ibu bapa.
“Hal ini sekali gus menjadi motivasi dan suntikan semangat kepada mereka untuk meneruskan pembelajaran di samping memperolehi pengalaman baharu.
“Warga pendidik juga harus bekerjasama, berpadu tenaga dalam melonjakkan lagi prestasi dan kecemerlangan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas selaras misi serta visi pihak kementerian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir mewakili Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada majlis minum petang sempena Kejohanan Merentas Desa Pendidikan Khas MSS Sarawak 2025 di Dewan Sinaran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Spaoh, semalam.
Dr Richard berkata golongan ibu bapa perlu terus memberi galakan, sokongan dan penuhi hasrat mereka dengan kasih sayang serta bimbing anak-anak dengan setulus harapan.
“Kejohanan ini menjadi platform yang amat bermakna dalam menghargai serta meraikan bakat dan potensi Murid Berkeperluan Pendidikan Khas di Sarawak.
“Ia bukan sahaja memberi ruang kepada mereka untuk menonjolkan kebolehan, tetapi juga membina keyakinan diri dengan pengiktirafan yang setara.
“Semoga kejohanan ini menjadi pemangkin kepada pembangunan pendidikan yang lebih inklusif dan bermakna buat semua warga Murid Berkeperluan Pendidikan Khas di Sarawak,” katanya.
Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), Omar Mahli; Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pendidikan Khas JPNS, Ahmad Daud Lugom; Pegawai Pendidikan Daerah Betong, Mohd Lela Alamshah dan Pegawai Pendidikan Daerah Saratok, Awet Gapor.
Oleh Adi Safarman