
BINTULU: Persatuan Memanah Tradisional Negeri Sarawak (PMTNS) bakal menganjurkan Kejohanan Memanah Tradisional Sarawak 2025 pada 19 hingga 20 Julai ini di Stadium Bintulu, dengan penyertaan kira-kira 600 pemanah dari dalam dan luar negara.
Presiden PMTNS, Bujang Ham, berkata kejohanan julung kali itu bakal menghimpunkan peserta dari Sarawak, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan, Semenanjung Malaysia serta jemputan antarabangsa dari Brunei Darussalam, Indonesia dan Thailand.
Menurut beliau, penganjuran edisi kali ini merupakan antara kejohanan memanah tradisional terbesar di Malaysia Timur, dengan objektif utama memartabatkan warisan memanah tradisional serta memperkukuh hubungan serantau.
“Kejohanan ini juga berperanan sebagai pemangkin pelancongan negeri memandangkan ramai peserta hadir bersama keluarga masing-masing, dan jumlah penyertaan terus meningkat setiap tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, pertandingan akan melibatkan beberapa kategori seperti dewasa lelaki dan wanita serta remaja lelaki dan wanita, yang menggunakan busur tradisional.
“Menariknya, peserta akan memperagakan busana tradisional kaum masing-masing ketika bertanding, sekali gus menonjolkan kepelbagaian budaya dalam sukan ini,” ujarnya.
Selain pertandingan, acara turut dimeriahkan dengan jualan peralatan memanah serta demonstrasi panahan tradisional kepada pengunjung.
Bujang turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menyokong kejohanan ini termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MySED), Sarawak Sports Corporation (SSC), Persatuan Memanah Tradisional Malaysia (TAAM) serta para penaja.
Beliau juga mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk sama-sama memeriahkan kejohanan dan menyokong usaha melestarikan sukan warisan ini agar terus berkembang di peringkat tempatan dan serantau.
Oleh Carolyne Utih