
KUCHING: Seramai 17 wartawan daripada sembilan organisasi media tempatan melayakkan diri ke Pusingan Akhir Initial M: Media SIM Racing Grand Prix yang julung kali diadakan di Sarawak.
Acara anjuran bersama Metadise Electronic Sports Club (MESC), Hazel Communication & Solutions Sdn Bhd (HazelComms) dan Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) itu berlangsung di Metadise Sim Racing, Kuching, hari ini.
Presiden MESC, Afiq Fadhli Narawi berkata penganjuran ini menjadi medan baharu yang menggabungkan media, teknologi dan potensi korporat dalam landskap e-sukan yang semakin berkembang di Sarawak.
“Apa yang kita saksikan hari ini ialah media mengambil tempat di barisan hadapan dalam perlumbaan baharu, perlumbaan yang menggabungkan inovasi digital dan impak audiens sebenar,” katanya.
Pusingan kelayakan yang berlangsung sebelum ini menyaksikan tujuh pasukan terbaik mara ke Pusingan Akhir Time Attack yang dijadualkan pada 30 Ogos 2025, bertempat di litar simulasi Sepang.
Antara organisasi media yang berjaya menempah tempat ke pusingan akhir termasuk KDJA, The Borneo Post, Sarawak Tribune, Dayak Daily, Suara Sarawak, RTM dan BERNAMA.
Pusingan akhir yang bakal berlangsung hujung bulan ini dijangka menjadi medan penuh debaran, selain membuka ruang kepada pelbagai bentuk pengiktirafan serta peluang kerjasama kandungan bersama jenama korporat yang ingin meneroka potensi platform ini.
Dengan semangat, strategi dan daya saing yang digilap sepanjang kejohanan, Initial M SIM Racing Grand Prix diyakini mampu menjadikan Sarawak sebagai hab inovasi digital yang menggabungkan kepakaran media dan sukan permotoran maya.
Oleh Amanda L dan Masrin Affirah