
PETRA JAYA: Kejohanan Futsal Piala Presiden Saberkas Sarawak 2026 bakal mencipta sejarah tersendiri apabila dianjurkan buat pertama kali pada 1 hingga 3 Mei depan, melibatkan penyertaan cawangan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) dari seluruh negeri.
Timbalan Presiden Saberkas, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, kejohanan sulung itu dianjurkan di bawah Jawatankuasa Rekreasi, Kebudayaan dan Sukan Saberkas selepas mendapat persetujuan Mesyuarat Exco baru-baru ini.
Menurut beliau, penganjuran tersebut merupakan kesinambungan daripada kejayaan Karnival Sukan Saberkas sebelum ini, sekali gus menjadi platform untuk menghimpunkan bakat-bakat terbaik futsal dalam kalangan ahli.
“Kita mempunyai 82 pangkalan Saberkas di seluruh Sarawak dan setiap pangkalan dikehendaki menghantar satu pasukan yang dianggotai 10 pemain.
“Kami telah bersedia untuk menerima sehingga 82 pasukan dan jadual perlawanan akan berlangsung dari pagi hingga malam sepanjang tiga hari kejohanan,” katanya pada sidang media di Bangunan Baitulmakmur II, di sini hari ini.

Kejohanan tersebut akan berlangsung di dua venue utama iaitu Arena Sukan Simpang Tiga Kuching dan Kompleks Sukan Asajaya, Kota Samarahan. Ia terbuka kepada ahli Saberkas berdaftar dari semua cawangan di Sarawak dan mempertandingkan kategori lelaki sahaja.
Gerald berkata, penganjuran Piala Presiden itu juga merupakan respons kepada maklum balas ahli yang mahu melihat pertandingan futsal dianjurkan pada tahap lebih tinggi selepas sambutan menggalakkan terhadap karnival sukan terdahulu.
“Sebenarnya setiap cawangan sudah mempunyai juara futsal masing-masing. Jadi kita bawa mereka berkumpul di peringkat negeri untuk melihat potensi sebenar dan mungkin dapat mencungkil bakat baharu dalam kalangan belia,” ujarnya.
Beliau menambah, kejohanan tersebut terbuka kepada semua ahli tanpa had umur, asalkan mereka berdaftar sebagai ahli Saberkas.
Pemenang johan bakal membawa pulang piala dan wang tunai RM7,000 manakala naib johan menerima piala serta wang tunai RM5,000.
Tempat ketiga bersama akan menerima piala dan wang tunai RM3,000, manakala empat pasukan suku akhir masing-masing memperoleh RM1,000. Anugerah khas turut disediakan bagi Pemain Terbaik, Penjaga Gol Terbaik dan Penjaring Terbanyak.
Majlis perasmian dan penyampaian hadiah dijangka disempurnakan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan merangkap Presiden Saberkas Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Oleh Adele Rissa