
SARIBAS: Sebanyak 28 pasukan futsal telah mengesahkan penyertaan bagi memeriahkan Kejohanan Futsal sempena Karnival Sukan Saberkas (KASUS) 2025 yang dijadual berlangsung pada 26 dan 27 Julai ini di Kampung Tuie, di sini.
Pertandingan anjuran Saberkas Cawangan N.35 Saribas dengan kerjasama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Saribas itu dijangka menarik penyertaan dan perhatian peminat sukan dari seluruh Bahagian Betong dan kawasan sekitar.
Pengerusi Pertandingan Suib Paaie berkata, Kampung Tuie dipilih sebagai lokasi kejohanan kerana kemudahan gelanggang yang sesuai serta sambutan positif daripada komuniti setempat.
“Objektif utama kejohanan ini bukan sahaja untuk mempromosikan sukan futsal, malah menjadi platform mencungkil bakat baharu dari akar umbi yang berpotensi ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Hadiah menarik menanti para pemenang, dengan johan membawa pulang RM1,500 berserta piala dan pingat, naib johan menerima RM800 dan pingat, manakala dua pasukan tempat ketiga bersama masing-masing menerima RM300 dan pingat.
Kejohanan yang dijangka berlangsung meriah itu bakal dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Mohammad Razi Sitam.
Suib turut berkata bahawa KASUS 2025 berperanan sebagai medan penyatuan belia pelbagai kampung serta sebagai pemangkin gaya hidup sihat dan semangat kesukanan dalam kalangan masyarakat luar bandar.
“KASUS 2025 bukan sekadar kejohanan futsal, tetapi simbol kerjasama, pembangunan belia, dan perpaduan komuniti,” tambahnya.
Oleh Adi Safarman