
KABONG: Kejohanan Bola Keranjang 12 Tahun Ke Bawah (TKB) Majlis Sukan Sekolah (MSS) Bahagian Betong 2026 yang melabuhkan tirainya di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Kabong semalam berjaya membuktikan bahawa bidang sukan merupakan platform terbaik dalam menyatukan masyarakat seawal usia persekolahan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir, menegaskan bahawa penglibatan seramai 168 peserta daripada pelbagai latar belakang kaum membuktikan semangat kesukanan tinggi yang mampu memperkukuh keharmonian komuniti setempat.
Dalam ucapan perasmian penutupan kejohanan tersebut, beliau menzahirkan rasa syukur dan bangga atas komitmen padu pihak penganjur, jawatankuasa pelaksana, serta pihak sekolah selaku tuan rumah yang memastikan kelancaran program.

Menurut beliau, penganjuran yang melibatkan tujuh zon utama iaitu Zon Pusa, Debak, Spaoh, Betong, Saratok, Roban, dan Kabong ini bukan sekadar mengejar kemenangan, malah menjadi medan penting untuk membentuk disiplin, semangat kerja berpasukan, serta memupuk nilai kepimpinan yang jitu dalam diri setiap pelajar.
Chee Kadir turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja dan guru yang bertungkus-lumus menjayakan kejohanan ini.
Beliau mengingatkan para atlet muda bahawa pengalaman serta nilai murni yang diperoleh sepanjang pertandingan adalah lebih bermakna daripada keputusan akhir.
Beliau berharap agar kejohanan seumpama ini diteruskan secara konsisten pada masa hadapan bagi memastikan pembangunan sahsiah dan bakat sukan pelajar di Bahagian Betong sentiasa berada di tahap yang cemerlang.

Keputusan rasmi kejohanan menyaksikan persaingan sengit di antara zon yang bertanding. Bagi kategori perempuan, Zon Saratok dinobatkan sebagai johan, diikuti oleh Zon Betong sebagai naib johan, manakala Zon Kabong dan Zon Roban masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat.
Bagi kategori lelaki pula, gelaran johan dirangkul oleh Zon Betong, manakala Zon Saratok menduduki tempat kedua, diikuti oleh Zon Roban di tempat ketiga dan Zon Kabong di tempat keempat.
Majlis penuh bermakna itu turut diserikan dengan kehadiran isteri Chee Kadir, Datin Meryani Yassin, yang bersama-sama meraikan kejayaan para pemenang.
Chee Kadir mengakhiri ucapannya dengan harapan agar semua pemenang yang bakal mewakili Bahagian Betong ke peringkat seterusnya akan terus mempamerkan semangat juang yang tinggi dan membawa pulang kejayaan yang membanggakan.
Oleh Adi Safarman