
KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki utama negara Aaron Chia berhasrat untuk melihat semua empat slot separuh akhir acara beregu lelaki menjadi milik Malaysia pada Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, bermula 25 hingga 31 Ogos ini.
Aaron yang bergandingan bersama Soh Wooi Yik berkata situasi itu tidak mustahil dicapai berdasarkan prestasi dilakar gandingan negara, antaranya pasangan ketiga dunia Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, pasangan ketujuh dunia Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan pasangan ke-22 dunia Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King pada kejohanan disertai tahun ini.
Sekiranya senario itu berlaku, pemain berusia 28 tahun berkenaan berkata ia amat bermakna memandangkan aksi separuh akhir kejohanan berprestij di Adidas Arena itu bakal berlangsung sehari sebelum Malaysia menyambut Hari Kebangsaan ke-68.
“Saya rasa Wei Chong-Kai Wun, Wan Arif-Roy King juga ada peluang (ke separuh akhir). Jika ada empat beregu pada separuh akhir, kita boleh raikan awal (Hari Kebangsaan),” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di sini hari ini.
Berdasarkan prestasi tahun ini, Aaron-Wooi Yik, yang juga gandingan kedua terbaik dunia adalah pasangan paling cemerlang di Malaysia dengan tiga gelaran iaitu Kejohanan Badminton Asia 2025, Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura, selain dua naib juara Masters Malaysia dan Terbuka China.
Selain itu, Wei Chong-Kai Wun muncul juara Masters Indonesia dan Masters Malaysia, Sze Fei-Nur Izzuddin dan Wan Arif-Roy King pula masing-masing meraih satu gelaran pada Terbuka India dan Terbuka Macau.
Dalam pada itu, Aaron berharap agar lokasi Kejohanan Dunia 2025 terus membawa tuah kepadanya selepas mempertahankan pingat gangsa Sukan Olimpik 2024, sekali gus dapat mengulangi magis muncul juara dunia 2022 di Tokyo.
“Tahun lepas kita main di arena yang sama. Saya harap kali ini boleh bermain lebih baik,” katanya.
Pada Ogos 2022, Aaron-Wooi Yik melakar sejarah menjadi wakil badminton pertama negara muncul juara dunia dengan menumpaskan beregu veteran dan bekas juara dunia tiga kali Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia 21-19, 21-14.
Sementara itu, Aaron berkata mereka ketika ini sedang menumpukan aspek mengekalkan konsistensi menjelang saingan di Paris.
Beliau pada masa sama menjangkakan pasangan nombor satu dunia Kim Won Ho-Seo Seung Jae akan memberikan ancaman besar kepada pencabar lain susulan prestasi hebat wakil Korea Selatan yang sudah mengumpul lima gelaran termasuk kejohanan tertua dunia Seluruh England 2025 pada Mac lepas.– Bernama