

MIRI: Kejayaan sesebuah sekolah tidak akan tercapai tanpa peranan dan kerjasama padu daripada semua pihak.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin, kecemerlangan murid, dedikasi guru serta sokongan ibu bapa dan komuniti adalah asas penting yang membentuk kekuatan sebuah institusi pendidikan.
“Kejayaan sekolah memerlukan sokongan menyeluruh daripada guru, ibu bapa, komuniti, wakil rakyat dan kerajaan. Semua pihak memainkan peranan besar dalam membentuk pembangunan modal insan,” katanya semasa berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan 2025 SK Agama (MIS) Miri hari ini.
Menurut Kim Shin, majlis anugerah itu bukan sekadar acara tahunan, tetapi sebuah platform bermakna untuk mengiktiraf usaha gigih serta pengorbanan pelajar, guru dan ibu bapa.
Katanya, penghargaan tersebut menjadi pencetus semangat untuk anak-anak terus mencapai kecemerlangan yang lebih tinggi pada masa depan.
“Majlis ini mengiktiraf usaha gigih dan dedikasi anak-anak yang mencapai keputusan cemerlang dalam pelbagai bidang. Kita juga menghargai guru-guru yang tidak pernah jemu mencurahkan ilmu dan membentuk sahsiah murid,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa kecemerlangan murid memberi impak luas kepada sekolah, komuniti dan negara.
Kejayaan itu, jelasnya, secara langsung mengangkat nama baik SK Agama (MIS) Miri sebagai institusi yang berjaya melahirkan modal insan berkualiti, berilmu dan berakhlak mulia.
“Anda adalah pewaris masa hadapan. Kecemerlangan dalam pendidikan agama dan akademik akan melahirkan pemimpin masa depan yang bukan sahaja pintar, tetapi juga berintegriti serta berpegang kepada nilai murni,” tegasnya.
Dalam ucapannya, Lee turut memuji peranan ibu bapa dan penjaga yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan anak-anak.
Pengiktirafan ini, menurutnya lagi, adalah katalis yang mampu memberi keyakinan diri kepada murid selain membuka lebih banyak peluang untuk masa hadapan mereka.
Oleh Liong Chai Ling