Kejayaan pelayar Sarawak bukti pembangunan sukan berterusan – Rosey

Facebook
WhatsApp
PELAYAR Sarawak meraikan kejayaan selepas meraih lima pingat, termasuk dua emas, pada Sukma Selangor.

KUALA LUMPUR: Kontinjen Pelayar Sarawak berjaya melakar pencapaian membanggakan pada Sukan Malaysia (Sukma) Selangor apabila meraih dua pingat emas, satu perak dan dua gangsa, sekali gus melepasi sasaran awal satu pingat emas.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak, Datuk Rosey Yunus berkata, kejayaan itu hasil usaha gigih serta semangat tinggi para atlet yang mendapat bimbingan berterusan daripada pengurus pasukan dan jurulatih.

Rosey yang selaku Penolong Ketua Kontinjen (ACDM) Sarawak berkata, pencapaian berkenaan membuktikan pembangunan sukan yang berterusan mampu melahirkan atlet berdaya saing serta mencapai keputusan lebih baik daripada sasaran ditetapkan.

LAYAR DIKEMBANG, PINGAT DIJULANG… Tahniah diucapkan kepada skuad pelayaran Sarawak atas pencapaian cemerlang memungut dua emas, satu perak, dan dua gangsa di Pusat Latihan Perahu Layar Batu Laut, Kuala Langat, semalam.

“Pagi ini kita berjaya mendapat dua emas, satu perak dan dua gangsa, sedangkan sasaran hanya satu emas. Syukur kerana pencapaian kita melebihi sasaran.

“Ini berkat usaha dan semangat para atlet di bawah bimbingan berterusan daripada pengurus pasukan dan jurulatih,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, sukan berkenaan memerlukan atlet menyesuaikan diri dengan keadaan arus air serta aliran angin yang berbeza di setiap lokasi pertandingan.

Justeru, katanya, para atlet perlu meneruskan latihan dan mendapatkan lebih banyak pendedahan di pelbagai lokasi sebagai persediaan menghadapi kejohanan akan datang, termasuk Sukma seterusnya.

TAHNIAH...Datuk Rosey Yunus rakam kenangan bersama para pemenang selepas penyampaian hadiah (acara pelayaran) di Pusat Latihan Perahu Layar Batu Laut, Kuala Langat, semalam.

“Mereka perlu banyak pendedahan dari pelbagai tempat supaya dapat menyesuaikan diri dengan aliran arus air dan angin yang berbeza di setiap lokasi.

“Sukan ini juga memerlukan ketahanan mental, kepantasan berfikir, kecekapan serta strategi dalam membuat sebarang keputusan,” katanya.

Rosey berkata, kejayaan pada Sukma Selangor itu diharap menjadi pemangkin kepada para atlet untuk terus meningkatkan prestasi dan mengharumkan nama Sarawak pada kejohanan akan datang.

Oleh Adum Liu