
LONG LAMA: Kerjasama antara sekolah, guru dan ibubapa merupakan kunci kejayaan setiap murid, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau.
Beliau menegaskan bahawa pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan yang lebih baik.
“Kejayaan hari ini adalah langkah pertama untuk mencapai impian yang lebih tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kemenjadian Murid dan Graduasi Prasekolah SK Ubong Imang yang diadakan di Dewan SJK(C) Kee Tee semalam.
Menurutnya, setiap anugerah yang diterima murid adalah hasil kerja keras, semangat belajar serta keazaman yang tidak pernah luntur
Namun, beliau mengingatkan bahawa pencapaian itu bukanlah penamat bagi perjalanan pembelajaran mereka.
“Murid-murid akan terus melangkah jauh dan belajar sehingga mencapai kejayaan suatu hari nanti,” ujarnya.
Dennis turut menegaskan bahawa walaupun murid telah menamatkan Tahun 6, perjalanan akademik mereka masih panjang, dan kejayaan di sekolah rendah hanyalah permulaan kepada pencapaian yang lebih besar.
“Terima kasih kepada warga pendidik yang telah membimbing serta memberi sokongan dan dorongan kepada murid-murid sehingga mencapai kejayaan,” katanya.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada ibubapa yang sentiasa memberikan sokongan dan semangat kepada anak-anak mereka.
Katanya, beliau berharap semangat, disiplin dan kejayaan yang diraih dapat diteruskan ketika murid melangkah ke sekolah menengah kelak.
Pada majlis itu, Dennis turut meluluskan peruntukan MRP sebanyak RM10,000 kepada PIBG sekolah bagi melaksanakan aktiviti yang dirancang.
Oleh Jiku Juguong